Rombakan Kabinet: Saya tengah fikir - PM Anwar

Hasimi Muhamad
September 27, 2023 18:43 MYT
Anwar berucap pada perasmian Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Malaysia anjuran Huawei Technologies (M) Sdn Bhd, di sini pada Rabu. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Teka-teki sama ada akan berlaku rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan, atau sebaliknya masih belum dapat disahkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sedang mempertimbangkan perkara tersebut, di sebalik desas-desus bahawa akan berlaku rombakan dalam masa terdekat.
“Saya tengah fikir dulu (rombakan Kabinet),” katanya ringkas ketika ditanya berhubung perkara itu di sini pada Rabu.
Sebelum itu, beliau hadir merasmikan Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Malaysia anjuran Huawei Technologies (M) Sdn Bhd, di sini pada Rabu.
Sidang kemuncak dua hari yang bermula semalam bertujuan menggalakkan pembangunan inovasi dan prasarana ICT, selain mendorong lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi digital mampan serta peningkatan perindustrian Malaysia.
Sebelum ini media melaporkan Anwar bersedia membuat rombakan dalam masa terdekat, antaranya melibatkan Kabinet, Ketua Setiausaha (KSU), anggota birokrasi, kakitangan awam, dan pejabatnya sendiri.
Desa-desus rombakan Kabinet timbul selepas jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kosong kerana kematian penyandang, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini dilapor berkata tiada perbincangan mengenai rombakan Kabinet dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
"Tentang rombakan, tiada perbincangan," katanya.
#rombakan kabinet #Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #Kerajaan Perpaduan
;