Rombakan kabinet Hajiji dapat restu daripada PM - Jeffrey Kitingan

Abdul Hafiz Mustadi
Januari 11, 2023 18:02 MYT
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan menyifatkan rombakan kabinet pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai lengkap. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan mengesahkan rombakan kabinet yang dilakukan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mendapat restu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jeffrey ketika ditemui di luar Istana Seri Kinabalu berkata beliau turut gembira dengan penglibatan wanita dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) di dalam kabinet negeri Sabah dan melihatnya sebagai kerajaan yang lengkap.
"Ia (kabinet) yang lebih lengkap. Ada (penglibatan) wanita dan (ADUN) Pakatan Harapan, jadi ianya sangat baik.
"Ya (gembira). Mereka (Anwar Ibrahim) telah menghubungi Ketua Menteri malam semalam," ujar Jeffrey pada Rabu.
Tambah Jeffrey, rombakan kabinet itu merupakan konsensus di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) Sabah, dan 5 ADUN UMNO berserta 1 ADUN lantikan (Dr. Aliakbar Gulasan), dan ADUN Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Rina Jainal.
Terdahulu, satu Majlis Angkat Sumpah ahli jemaah kabinet baharu telah diadakan di Dewan Kunjungan, Istana Seri Kinabalu pada 10.00 pagi Rabu.
Rombakan kabinet itu turut menyaksikan Datuk Shahelmey Yahya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III, merangkap Menteri Kerja Raya mewakili kuota UMNO sekali gus menggantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya.
Rombakan kabinet tersebut walau bagaimanapun tidak direstui Bung selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dengan berkata beliau tidak mengiktiraf rombakan tersebut sambil menyatakan lantikan dua ADUN BN (Shahelmey dan James Ratib) itu bersifat peribadi dan bukannya demi kepentingan parti.
#politik #Kabinet Sabah #Datuk Seri Hajiji Noor #Datuk Seri Jeffrey Kitingan
;