Rombakan Kabinet: DAP hargai sikap dan kenyataan Sivakumar

Astro Awani
Disember 12, 2023 19:40 MYT
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menjelaskan Sivakumar (foto) tidak mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar berhubung penggugurannya sebagai Menteri Sumber Manusia melambangkan semangat DAP.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menjelaskan Sivakumar tidak mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Loke juga berkata, setiap pemimpin DAP telah diingatkan bahawa pelantikan sebagai menteri merupakan tanggungjawab dan jika tidak dilantik harus menerimanya dengan terbuka.
"Jawatan kerajaan bukannya hak kepada sesiapa, ia adalah merupakan satu amanah dan tanggungjawab.
"Bila anda dilantik, anda harus menjalankan tugas dan bila tidak dilantik, anda perlu menerima keputusan tersebut," katanya pada sidang media di ibu Pejabat DAP pada Selasa.
Mengulas tentang pertambahan satu jawatan menteri yang diperolehi DAP, Loke menyangkal dakwaan partinya memperolehi kelebihan berbanding parti lain.
"Dakwaan mengatakan kami 'menang besar' dalam rombakan kabinet ini adalah tidak benar kerana darisegi pertambahan, cuma tambah satu menteri.
"Ia adalah sama dengan UMNO yang turut menambah satu orang sebagai menteri iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
"Pelantikan baru melibatkan DAP kerana adanya dua digugurkan, iaitu menteri dan timbalan menteri, jadi terdapat muka baharu dalam Kabinet.
"Dari segi pertambahan cuma satu, sama sahaja seperti UMNO, jadi tidak benar dakwaan bahawa DAP 'menang besar' dalam rombakan Kabinet ini," katanya lagi.
Pada Selasa, Perdana Menteri mengumumkan rombakan Kabinet dengan menyaksikan beberapa muka baharu dilantik sebagai menteri.
Anwar mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Ghani, Ahli Parlimen Kuala Selangor dan Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo kembali menjawat jawatan menteri.
Selain itu, beliau turut mengumumkan pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II.
#DAP #Anthony Loke #V Sivakumar #menteri #rombakan kabinet #pelantikan #gugur #Amanah #tanggungjawab
;