Rombakan Kabinet 2016: Noh Omar berterima kasih kepada Najib diberi kepercayaan
Media Statement
Jun 27, 2016 18:38 MYT
Jun 27, 2016 18:38 MYT
Bekas menteri dan seorang timbalan menteri dilantik sebagai menteri penuh dalam rombakan dan penyusunan semula Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Pengumuman senarai anggota Kabinet baharu dilakukan Perdana Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya sekitar jam 3.15 petang tadi.
Tan Sri Noh Omar, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, dibawa masuk untuk menerajui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
BERIKUT KENYATAAN TAN SRI NOH OMAR
Alhamdulillah saya bersyukur ke hadarat Allah S.W.T. dan terima kasih kepada Yang Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kepercayaan kepada saya untuk kembali menyertai barisan kabinet Malaysia dengan memberi portfolio yg baru iaitu menjadi Menteri di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Saya amat terharu dengan pelantikan ini dan saya juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya, kepada semua kepimpinan UMNO daripada peringkat negeri sehinggalah ke peringkat bahagian, ahli-ahli UMNO, juga rakan-rakan yang selama ini memberikan sokongan kepada saya untuk memimpin UMNO Selangor.
BACA: LAPOR LANGSUNG: Rombakan Kabinet 2016
Alhamdulillah, hari ini saya lihat UMNO Selangor akan terus maju ke hadapan, dan saya yakin dengan tanggungjawab yang baru dan ini bukanlah satu kebanggaan kepada saya kerana sebelum ini saya pernah menjawat jawatan dan menjadi menteri, ada jawatan dan tiada jawatan dan semua ini saya pernah lalui, tetapi ini adalah satu amanah yang yang akan saya pikul untuk saya memberikan pembelaan kepada masyarakat dalam bandar khususnya untuk memerangi kemiskinan bandar yang menjadi wawasan kerajaan.
Saya juga ingin menyatakan penghargaan kepada semua rakan-rakan dan pimpinan UMNO dan BN yang memberikan kerjasama kepada saya selama ini, kerana tanpa kerja sebagai satu pasukan tentulah saya tidak berjaya memimpin Barisan Nasional (BN) Selangor khususnya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar lalu.
Tapi dengan berkat sokongan dan kerjasama, maka saya lihat BN Selangor akan dapat pertingkatkan lagi dan yang penting matlamat saya mesti dapat menawan selangor kembali pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Jadi dengan pelantikan yang baru ini akan memberikan semangat baru, suntikan baru dan akan memudahkan saya untuk menguruskan masalah rakyat terutamanya rakyat dalam bandar.