Roland letak jawatan atau tidak

Astro Awani
Disember 17, 2014 16:53 MYT
Kedudukan Adun Inanam menimbulkan kekeliruan dikalangan pemimpin dan penyokong. - Sumber Foto Facebook Dr Roland Chia
Kedudukan Anggota Dewan Dewan Undangan Negeri (Adun) Inanam, Dr Roland Chia menimbulkan kekeliruan dikalangan pemimpin dan penyokong PKR di peringkat pusat dan juga di Sabah.
Sebaik tersebar berita peletakan jawatan Dr Roland, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak dapat mengesahkan kedudukan naib pengerusi PKR Sabah itu.
Rafizi dalam kenyataannya menjelaskan PKR masih dalam proses menghubunginya untuk mendapat maklumat lanjut untuk mengesahkan kenyataan pendek ditulis di laman sosial.
Sementara itu Bernama melaporkan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah Datuk Seri Lajim Ukin berkata Dr Roland masih lagi Adun Inanam.
"Buat sementara waktu ini, ini khabar anginlah sehinggalah kita memperolehi pengesahan (mengenainya). Saya sudah periksa dengan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah (Datuk Seri Dr Salleh Tun Said) dan (saya) dimaklumkan tidak ada
perletakan jawatan (ADUN)," Lajim dipetik sebagai berkata oleh Bernama.
Lajim juga dilaporkan tidak menolak kemungkinan akaun Facebook Dr Roland digodam.
Katanya, Adun Inanam itu tidak menyatakan hasrat untuk meletak jawatan ketika mereka berdua menghadir satu mesyuarat minggu lepas.
Speaker Dun Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said dilaporkan turut mengesahkan belum menerima surat perletakan jawatan daripada Dr Roland.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, Roland mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Joseph Paulus Lantip dan calon Parti Maju Sabah, Enchin Majimbun dengan majoriti 3,202 undi.
#Dr Roland Chia #PKR #Sabah
;