RMK11: Mengapa Pulau Pinang dianaktirikan? - Keng Liang
Shamil Hizamie
Mei 22, 2015 18:10 MYT
Mei 22, 2015 18:10 MYT
Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya tidak menganaktirikan Pulau Pinang.
Keng Liang merujuk kepada Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang diumumkan Najib di Parlimen semalam.
Antara intipati yang diperkatakan Najib dalam tempoh lima tahun akan datang termasuklah pembangunan empat bandar utama yang diklasifikasikan sebagai bandar-bandar berdaya saing.
Empat bandar yang dimaksudkan adalah Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.
"Saya amat terkejut, mengapakah Pulau Pinang iaitu sebuah tempat yang amat terkenal di kawasan utara Malaysia tidak tersenarai sebagai salah satu bandar yang berpotensi untuk dimajukan?" katanya dalam satu kenyaatan rasmi.
Menurutnya, potensi daya saing empat buah bandar yang lain tidak dipersoal. Namun penyisihan terhadap Pulau Pinang dianggapnya sebagai satu perkara yang tidak logik.
Keng Liang menzahirkan rasa kecewa apabila Pulau Pinang langsung tidak tersenarai sebagai bandar yang berdaya saing.
"Sebagai seorang anak jati Pulau Pinang, saya berkongsi rasa kekecewaan ini dengan seluruh penduduk 'Pulau Mutiara' yang lain setelah mendengarkan pengumuman RMK11 semalam," ujarnya.
Keng Liang yang juga seorang peguam turut menolak penjelasan yang diberikan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Abdul Wahid sebelum ini menerangkan bahawa kerajaan hanya mampu memfokuskan pembangunan empat buah bandar berkenaan pada masa sekarang.
Keng Liang mewakili seluruh Pemuda Gerakan menggesa perdana menteri untuk mempertimbangkan semula Pulau Pinang sebagai sebuah bandar yang berpontesi dimajukan serta berdaya saing.
"Barisan Nasional perlu berlaku adil kepada Pulau Pinang jika mahu rakyat menerima mereka," tambahnya lagi.