'Ribut' Wangsa Maju: Kami tidak lupa sabotaj anda pada PRU 13, Yew Teong Look
Hafiz Marzukhi
April 25, 2018 19:48 MYT
April 25, 2018 19:48 MYT
Kekecewaan terhadap pemilihan calon di sesuatu kawasan membuka ruang untuk tindakan sabotaj dalam kalangan jentera parti.
Ada yang kecewa kerana tidak terpilih dan ada juga kerana calon yang dipilih bukan daripada parti yang dikehendaki.
Bagi Wan Muhammad Azri Wan Deris, kekecewaannya dan rakan dalam UMNO Wangsa Maju berpunca daripada perbuatan 'khianat' dari calon yang dipilih.
"Kalau kita lihat Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, Datuk Yew Teong Look secara terang-terang umum tidak akan bantu kempen Barisan Nasional di Wangsa Maju yang mana ketika itu ditandingi Datuk Seri Dr Shafei Abdullah.
"Kalau perkara sebegitu berlaku dalam UMNO, sudah pasti tindakan dikenakan. Namun, kita sendiri lihat, Teong Look bukan sahaja masih Ketua MCA Wilayah Persekutuan, dia jadi calon pula di Wangsa Maju," kata Azri yang merupakan Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Wangsa Maju.
Walau bagaimanapun, Azri berkata pihaknya tidak akan melakukan apa-apa sabotaj terhadap kempen BN kerana setia kepada perjuangan parti.
"Hati kita pedih tetapi kita akan terus berkempen. Tidaklah sampai kami tutup Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan sebagainya.
"Namun, momentum yang akan disumbangkan kami sudah pasti bukan 120 peratus tetapi kurang daripada itu," katanya.
Tambah Azri, ketika ini, pihaknya masih cuba untuk berunding dengan pemimpin tertinggi BN supaya mengubah calon di kawasan tersebut.
"Masih ada masa. Jadi, kita cadangkan kalau masih ingin beri MCA kerusi Wangsa Maju, janganlah beri kepada Teong Look tetapi ahli lain," tegas Azri.
Apabila ditanya Teong Look mengenai situasi ini, beliau enggan mengulas lanjut.
"Buat masa ini, fokus saya adalah pada kempen. Namun, saya akan berbincang dengan Ketua Bahagian (Dr Shafei) mengenai perkara ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
#Dr Shafei Abdullah
#kecewa
#kempen
#Malaysia Memilih
#MalaysiaMemilih
#PRU 13
#PRU 14
#sabotaj
#Wangsa Maju
#Yew Teong Look