'Revolusi DAP mahu jatuhkan Melayu' - Syed Ali
Astro Awani
Mac 16, 2016 20:54 MYT
Mac 16, 2016 20:54 MYT
Revolusi politik yang digerakkan DAP atas perpecahan orang Melayu bakal memberi kesan buruk kepada bangsa itu sendiri pada masa akan datang. Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, revolusi politik DAP amat terkesan ke arah memecahbelahkan perpaduan Melayu.
"Jika tidak dibanteras secara lebih agresif, ia dikhuatiri akan melenyapkan penguasaan orang Melayu dalam politik.
"Jika ini berlaku, DAP akan menjadi penentu masa depan rakyat negara ini di samping orang Melayu akan merempat di tanah air sendiri.
"Apabila orang Melayu sudah terlucut kuasa politik dan ekonomi juga terus ketinggalan, akhirnya apa yang Melayu ada? hanya akan bertuankan kepada DAP," tegasnya dalam catatan terbaharunya di blog umnobahagiancheras.blogspot.my.
Jelasnya, senario politik mutakhir ini amat membimbangkan yang menyaksikan sedang berlaku perseteruan kuasa termasuk yang mewakili kaum Melayu.
"Semua pihak terutama orang Melayu tidak boleh untuk menidakkan ancaman politik DAP kerana agendanya melampau sempadan kaum.
"Sentimen perkauman dan agama dijadikan senjata untuk meraih sokongan di samping meniupkan semangat kebencian melampau terhadap pemerintah.
"Doktrin dan klausa politik DAP amat membimbangkan, ianya menjadi ancaman kepada ketahanan dan masa depan orang Melayu," tegasnya.
Kata Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, segala jentera perang saraf DAP kini dihala kepada orang Melayu terutama membabitkan UMNO yang merupakan parti politik terbesar dengan misi untuk memecahbelahkannya dengan apa cara sekalipun.
"Selagi orang Melayu memandang remeh dan bersikap tidak peduli kepada persekitaran politik masa kini terutama ancaman DAP, ruang untuk Melayu hancur semakin terbuka.
"Sikap sesetengah pemimpin Melayu yang haloba dan tamak kepada kuasa serta kedudukan sehingga tergamak menjadi perkakas DAP turut menjadi ancaman kepada masa depan Melayu.
"Jika situasi ini berterusan, pemimpin Melayu yang ada hari ini pasti akan dicerca dan dipersalahkan oleh generasi akan datang," ujarnya.
Syed Ali turut mengingatkan, ada sesetengah daripada orang Melayu sendiri memandang remeh revolusi politik digerakkan DAP.
"Ini suatu yang amat malang, apatah lagi jika orang kita (Melayu) sendiri bersekongkol dengan parti itu. DAP sampai bila-bila pun tidak akan senang hati melihat orang Melayu bersatu dan UMNO kekal kukuh serta mendapat sokongan rakyat.
"Oleh sebab itu DAP pantas mengambil kesempatan di atas perseteruan dan pertelingkahan sesama pemimpin Melayu terutama apabila membabitkan pemimpin UMNO," jelasnya.
Katanya lagi, situasi itu dilihat amat menyedihkan terutama apabila berlaku perseteruan atau perbalahan sesama pemimpin Melayu atas isu yang boleh diselesaikan.
"Bila tiba masa itu, DAP akan campur tangan secara halus. DAP yang mendominasikan pakatan parti pembangkang sedikit-sebanyak juga telah berjaya memperdayakan orang Melayu untuk bersubahat dengan mereka.
"DAP akan terus menyemarakkan sentimen kaum dan kegelisahan orang Melayu terhadap UMNO dengan mencipta pelbagai isu tidak berasas, bersandarkan fitnah, provokasi dan persespsi.
"Selain melemparkan pelbagai fitnah secara konsisten terhadap pemimpin dan institusi UMNO, DAP juga memperalatkan beberapa parti pembangkang dalam usaha menawan Putrajaya pada PRU akan datang," katanya.
Syed Ali bimbang orang Melayu kesudahannya akan bertelagah sesama sendiri dan hilang kuasa politik akibat strategi dan revolusi politik DAP.
"Saya minta dan merayu orang Melayu menolak dakyah politik yang sedang dimainkan pembangkang.
"Pertelingkahan atau persengketaan sesama pemimpin Melayu tidak sepatutnya diperbesarkan sehingga seolah-olah seperti tiada jalan penyelesaiannya.
"Pada hemat saya, perbalahan sesama Melayu boleh dielakkan dan dicari jalan penyelesaiannya dengan mengambil kira kepentingan masa depan orang Melayu dan umat Islam," tegasnya.
Menurutnya, hanya UMNO boleh berperanan sebagai pertubuhan politik yang berkeupayaan menyelamatkan masa depan orang Melayu di negara ini.
Menyedari realiti itu tambahnya, DAP kini berusaha keras untuk menumbangkan UMNO kerana mereka sedar selagi adanya UMNO sukar bagi mereka menghancurkan kesatuan Melayu.
"Kerana itu, apabila ada kalangan pemimpin Melayu yang senang hati bersekongkol dengan DAP kononnya atas agenda tertentu, perkembangan itu didakwa banyak pihak sebagai pengkhianatan kepada bangsa sendiri," tegasnya.