Resipi Adenan 'pagar' majoriti kerusi di Sarawak

Wan Syamsul Amly
April 25, 2016 08:30 MYT
Secara strateginya, Adenan sudah melaksanakan penyelesaian isu tertunggak, jadi apa yang dia cuba lakukan kini bolehlah dipanggil pembangunan yang sepatutnya ada dan dinikmati. - Gambar fail
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-10 menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga.
Kita terima pada waktu itu terdapat kekalahan BN di beberapa kerusi, namun ia tetap menafikan hasrat pembangkang yang sekian lama berhasrat melenyapkan kekuatan BN di Sarawak.
Pada PRN Sarawak ke-11 kali ini, bayangan penguasaan itu sudah boleh dibaca lebih awal lagi.
Pertama sekali dengan perbalahan pertindihan lima kerusi mereka pasti membuka ruang untuk BN sendiri menang tanpa bertanding di kawasan berkenaan.
Lima kerusi tersebut ialah Mambong, Ngemah, Simanggang dan kerusi baharu Mulu dan Murum.
Perbalahan antara Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali pasti antara fokus utama yang merencatkan hasrat pembangkang untuk menafikan penguasaan majoriti dua pertiga BN kali ini.
Ditambah pula dengan sedikit perisa oleh Naib Pengerusi PKR Sarawak, Boniface Willy Tumek yang merajuk kerana PKR tidak mencalonkannya untuk kerusi Tasik Biru yang akan ditandingi oleh DAP, ia pasti satu bonus kepada BN.
Tanda penguasaan BN
Sebenarnya itu tanda 'cantik' buat BN yang akan melihat perbalahan jentera pembangkang.
Harus diingat, perbalahan jentera merupakan 'dosa' besar yang membawa parti kepada kekalahan.
Melihat kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang selama dua tahun ini mengambil alih tugas dan membuat sentuhan kepada orang pribumi dan Cina terutamanya sehinggakan dia dianggap sebagai orang yang telah menunjukkan keupayaan dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat negeri.
Ini kita anggap bukanlah sesuatu yang luar biar tetapi kerana pengalamannya yang terlalu luas di peringkat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sendiri selama ini.
Adenan dalam tempoh dua tahun setengah ini boleh dikatakan hampir melenyapkan isu-isu berlarutan, isu tertunggak serta isu yang dianggap tidak terjawab oleh rakyat Sarawak.
Secara strateginya, Adenan sudah melaksanakan penyelesaian isu tertunggak, jadi apa yang dia cuba lakukan kini bolehlah dipanggil pembangunan yang sepatutnya ada dan dinikmati.
Maknanya mudah, dalam lima tahun akan datang, Adenan akan mula melancarkan apa yang dirancang sebelum ini selepas menyelesaikan pelbagai isu berbangkit oleh pelbagai kaum di Sarawak.
Pastinya, sokongan yang diterima Adenan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan banyak persatuan Cina boleh memungkinkannya mendapatkan kembali beberapa kerusi bandar ke tangan BN, itu tidak mustahil berlaku.
Paling penting, Adenan sendiri sudah menyelesaikan tradisi perbalahan BN yang mungkin sebelum ini 'terguris' hati kerana calon dengan menyelesaikan lebih awal isu itu dengan aman dan tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati sesama mereka.
Tentunya apabila isu yang sentiada dibangkitkan selama ini sudah tidak kedengaran, ia isyarat jelas untuk pengaruh Adenan dibawa ke keputusan PRN pada 7 Mei depan.
Pembangkang makin goyah
Kita juga tidak boleh menafikan suara yang mengatakan BN akan menang besar kali ini apabila kedudukan Pakatan Harapan semakin lama semakin goyah.
Bagaimana tidak, apabila Pakatan Harapan semakin bercelaru, pendatang baharu seperti Parti Amanah Negara (PAN) turut menghadapi kepayahan untuk menang sama seperti Pas yang sekian lama berusaha namun masih dan tetap akan gagal untuk bertapak di Sarawak.
Senario sama boleh dilabel kepada PKR yang sebelum ini sudah menganggap kemenangan kecil pada PRN ke-10 dahulu satu kejayaan, mereka boleh diandaikan akan melonjak kegembiraan jika mereka menang satu atau dua kerusi lagi kali ini.
Cuma, keghairahan DAP yang mimpi indahnya untuk melebarkan pengaruh di kawasan luar bandar sehingga menimbulkan konfrantasi dengan sekutu mereka mungkin ada memberi sedikit kesan.
Positif atau negatif, DAP perlu menerima realiti tindakan itu sebenarnya tidak mendapat kesepakatan serta restu daripada kawan-kawannya yang lain.
Ia jelas terutamanya di akhir-akhir ini masih lagi belum kedengaran sebarang jalan penyelesaian, jadi boleh kita andaikan kemungkinan besar akan berlaku kelemahan jentera serta ketidaksediaan beberapa calon muda di rumah pembangkang.
Adenan jadi ikon
Kali ini Adenan sudah dianggap sebagai ikon besar, pada waktu begini dia sudah menjadi ikon negeri sama seperti ikon parti politik yang lain.
Faktor ikonik ini timbul apabila aura Adenan sudah payah untuk ditentang, sama deperti pemimpin-pemimpin besar BN serta beberapa lagi di pihak pembangkang.
Bagaimanapun, semua harus mengakui pemimpin 'otai' pembangkang juga semakin lama semakin kurang kerana meninggal dunia atau dipenjarakan, dalam bahasa mudahnya mereka sudah tidak ada lagi.
Dalam ketiadaan ini, Adenan timbul sebagai seorang ikon Sarawak yang harus dibanggakan.
Pastinya pendekatan kepimpinan Adenan yang penuh toleransi, memiliki kesederhanaan selain mengerti dengan hak yang ada pada setiap inci rakyat serta kaum di negeri Sarawak perlu dihargai.
Selain itu, hubungan kerajaan pusat dan negeri yang erat juga boleh dianggap pencapaian Adenan yang membanggakan.
Ia pakej kesederhanaan dengan autonomi yang diadun bersama kesefahaman peringkat tertinggi yang menguntungkan semua pihak.
Dengan poster penerangan pelbagai isu yang sudah diselesaikan dan perubahan yang dibuat Adenan selama ini dipasang di seluruh Sarawak menjelang PRN, ia signal jelas kejayaan yang tidak perlu dipertikai lagi.
Kalau ada lagi suara sumbang yang melaung frasa 'Ubah' di Sarawak, mungkin satu ayat yang harus diungkap kepada mereka;
'Cukup-cukuplah hasrat mahu mengubah majoriti dua pertiga majoriti milik BN selama ini.'
#Adenan Satem #Cina #pribumi #PRN #Tok Nan
;