Remajakan parti: UMNO Perak akan ketengah ramai calon muda dalam PRU15 - Saarani

Amirrul Rabbani
Ogos 20, 2022 13:39 MYT
Saarani berkata usaha meremajakan parti perlu dilakukan ekoran perubahan landskap politik negara ketika ini. - Gambar fail/BERNAMA
LENGGONG: UMNO Perak dijangka akan mengetengahkan lebih ramai calon muda sebagai usaha meremajakan parti itu bukan sahaja untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) malah demi masa depan parti.
Tanpa mengulas peratusan calon muda yang akan diketengahkan, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkara itu perlu dilakukan ekoran perubahan landskap politik negara ketika ini.
“Di Perak sekarang ini ada sekitar 1.1 juta golongan belia dan menjelang PRU16 kelak, ia dijangka akan bertambah 50 ke 60 peratus.
“Justeru persiapan untuk meremajakan parti itu perlu ada sebab orang baharu perlu dipersiapkan untuk menggantikan orang lama. Ini dapat dilihat yang berlaku di (Pilihan Raya Kecil) Johor dan Melaka yang mana ramai orang muda diangkat sebagai calon kita.
“Jadi, di Perak juga begitu kerana sudah tiba masanya. Mahu tidak mahu, kita harus ketengahkan ramai orang muda, dan itu adalah proses peremajaan parti yang perlu dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Daerah Lenggong di Dataran Lenggong, pada Sabtu.
Saarani berkata demikian apabila diminta mengulas berkenaan kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyebut parti itu akan 'lumpuh' dalam tempoh 10 tahun lagi jika masih tidak berani melakukan perubahan.
Nur Jazlan dilaporkan berkata UMNO harus melakukan perubahan dari segi peremajaan parti bermula dari PRU15 kerana pengundi muda hari ini dilihat tidak berminat dengan cara politik lama.
Dalam pada itu, Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata calon-calon muda yang akan diketengahkan nanti pula akan diperhalusi sebaik mungkin dari segi kemampuan menggantikan calon atau penyandang sebelumnya di sesuatu kerusi.
“Dari segi menggantikan muka lama kepada muka baharu ini antara perkara yang diteliti adalah daripada segi kemampuan muka baharu itu.
“Selain itu kita juga melihat dari sudut keperluan seseorang calon muka lama itu diganti misalnya kerasa faktor kesihatan atau sudah mahu bersara,” jelasnya lagi.
Pada masa sama, Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata semua parti komponen daam gabungan itu sudah melakukan persiapan untuk mendepani PRU-15.
Tambahnya lagi, Timbalan Pengerusi BN Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan juga dijangka akan ke negeri itu bagi meninjau tahap kesiapsiagaan parti itu pada minggu hadapan.
#UMNO Perak #Saarani Mohamad #meremajakan parti #PRU15
;