Redakan suhu politik sementara waktu, ini rayuan rakyat - Dr Chandra

Faris Danial Razi
Oktober 16, 2020 22:27 MYT
Dr Chandra Muzaffar menegaskan bahawa ahli politik perlu mengenepikan kepentingan masing-masing dan meredakan suhu politik buat sementara waktu kerana rakyat sudah merayu. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ahli politik perlu mengenepikan kepentingan masing-masing dan meredakan suhu politik buat sementara waktu.
Ia kerana penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar menegaskan, rakyat telah merayu agar ahli politik lebih memfokuskan kepada isu penting yang lebih mendesak dan mencabar ketika ini.
“Mereka iaitu ahli politik harus mengenepikan kepentingan politik masing masing. Kita tahu bahawa kepentingan politik itu penting dalam politik tapi kerana keadaan dan situasi.
“Apa salahnya kalau mereka mengenepikan kepentingan politik buat sementara waktu dan beri keutaman kepada kesejahteraan rakyat.
“Ini adalah rayuan daripada rakyat biasa, daripada warga dan saya berpendapat bahawa sebahagian besar daripada rakyat kita berfikiran sebegitu.
Sementara itu, Dr Chandra menegaskan bahawa ahli politik harus mengurangkan suhu politik kita supaya kita dapat beri tumpuan kepada isu penting yang mendesak dan mencabar.
“Ini adalah rayuan.. dan kita berhak membuat rayuan ini.
“Sekiranya mereka tidak mahu mengambil sikap yang berbeza dan kalau apa kita lihat berlaku sejak Mei lalu, walaupun nasihat daripada Tuanku (Yang Di-Pertuan Agong) begitu jelas dan jitu.
“Sekiranya mereka masih degil dengan pendirian masing-masing dan masih ingin meneruskan politik mereka ini, iaitu politik yang hanya mementingkan kuasa dan kedudukan mereka.
“Mereka harus terima solusi yang berdasarkan kepada perlembagaan dan demokrasi,” tambah Dr Chandra ketika ditemu bual dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Beliau juga menambah bahawa situasi itu boleh menjurus kepada berlakunya pengisytiharan darurat jika ahli politik masih berdegil dan sibuk memikirkan hal politik.
“Itu sebabnya perlembagaan kita juga ada satu fasa, satu mekanisme untuk mengatasi keadaan luar biasa.
“Saya maksudkan adalah Perkara Perlembagaan 150, sebagai contoh di mana kita mengisytihar darurat.
"Berdasarkan darurat, ada syarat-syaratnya yang tertentu yang mana kita bertindak buat sementara waktu mungkin sebulan atau enam bulan untuk mententeramkan keadaan untuk pulihkan keadaan dan selepas itu kita kembali sistem pemerintahan yang sedia ada,” tegas beliau lagi.
#Agenda Awani #politik #suhu politik #kepentingan politik #rayuan rakyat #situasi mendesak #hentikan politik #utamakan rakyat #kesejahteraan rakyat #darurat #Dr Chandra Muzaffar