Realiti semasa berbeza, pembangkang perlu seragamkan matlamat perjuangan - Penganalisis
Isabelle Leong
Disember 30, 2020 15:28 MYT
Disember 30, 2020 15:28 MYT
KUALA LUMPUR: Pemimpin pembangkang perlu menyeragamkan matlamat perjuangan mereka supaya pengundi dapat melihat mereka sebagai barisan alternatif yang baik untuk menggantikan kerajaan yang memerintah sekarang.
Menurut penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Muhammad Fuad Othman, ini kerana realiti semasa kini berbeza dan komposisi pembangkang sudah berubah.
“Saya kira cabaran utama pembangkang ketika ini ialah dasar perjuangan setiap parti itu agak berbeza sedikit.
“Mungkin matlamat PH dahulu ialah untuk menumbangkan Barisan Nasional tetapi oleh sebab keadaan sudah berubah dan kami melihat komposisi pembangkang itu juga sudah berubah,” kata Dr Muhammad Fuad dalam temu bual bersama Buletin AWANI pada Rabu.
Beliau juga berkata pihak pembangkang juga berdepan dengan cabaran untuk menamakan seorang calon perdana menteri yang berupaya untuk menyatukan blok pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
“Itu cabaran yang didepani parti pembangkang selain daripada rekod mereka apabila mereka menjadi kerajaan dahulu dan apa isu-isu semasa yang akan timbul menjelang PRU nanti,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata pembangkang tidak perlu terburu-buru menamakan seorang calon perdana menteri kerana penularan wabak COVID-19 di negara ini masih belum ada tanda-tanda akan reda lagi.
“Saya rasa pada akhirnya mungkin sesuatu yang lebih baik jika mereka boleh menamakan calon (perdana menteri), tetapi tidak semestinya kerana kami tidak ada lagi satu tarikh yang tuntas bila PRU akan diadakan.
“Selain itu, kami pun tahu Parlimen ini boleh bersidang sehingga 2023.
“Terdapat kemungkinan juga kerajaan ini boleh meneruskan pemerintahan mereka sehingga tarikh akhir,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PRU ke-15 akan diadakan sebaik pandemik COVID-19 berakhir.
#pembangkang
#matlamat perjuangan
#komposisi pembangkang
#Dr Muhammad Fuad Othman
#pilihan raya umum
#PRU
#calon
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#COVID-19
#pandemik