Realiti kehendak pengundi sudah berbeza, tidak lagi berkisar PH lebih bersih daripada BN, PN

Ridauddin Daud
Mei 30, 2022 18:35 MYT
Rafizi memaklumkan beliau akan melakukan pertemuan segera dengan Anwar untuk mempersiapkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
KUALA LUMPUR: Realiti kehendak pengundi kini sudah berubah dan ia bukan lagi berkisar kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Pakatan Harapan (PH) dilihat lebih bersih berbanding Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya, calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, pemimpin dan parti dalam PKR perlu lebih cerdik dan cekap sebagai pentadbir serta bakal menteri.
Menurutnya, sejak dari awal, beliau kerap menyatakan sekiranya PKR ingin terus mempengaruhi perubahan politik negara, parti perlu sentiasa yakin dengan kebijaksanaan rakyat.
BACA: Pemilihan PKR 2022: Rafizi dahului Saifuddin jawatan Timbalan Presiden
Tegasnya, sekiranya PKR masih gagal meyakinkan rakyat kali ini, maknanya usaha parti masih tempang dan belum cukup baik, bukannya rakyat yang tidak cerdik.
“Saya dan rakan-rakan mengambil risiko masuk pemilihan Keadilan dengan bertarung berasaskan idea sebegini.
“Saya diberitahu anggota Keadilan tidak akan dapat memahami mesej ini atau mereka lebih pentingkan soal peribadi dari gagasan idea,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, rakyat kini tidak hanya mahukan pemimpin PKR faham masalah mereka secara mendalam dan mengutarakan penyelesaian tetapi rakyat juga mahu melihat barisan bakal menteri yang diyakini mampu melaksanakan penyelesaian itu.
Pemilihan PKR | Saifuddin ucap tahniah kepada Rafizi
“Kita perlu kekal di landasan idea yang menghormati kebijaksanaan rakyat sehinggalah mereka yakin dengan idea dan keupayaan kita.
“Itu hanya akan berlaku jika kita menjadi sebuah parti yang lebih pintar, lebih agresif, lebih lincah, lebih cekap dan dibarisi pimpinan yang lebih muda dan bermutu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rafizi memberitahu beliau akan melakukan pertemuan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kadar segera untuk mempersiapkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
BACA: Pemilihan PKR 2022: Saifuddin ucap tahniah kepada Rafizi
Menurutnya, PKR akan kembali kuat apabila keseluruhan anggota dari akar umbi ke Presiden bergerak dengan satu strategi dan melaksanakan tugasan dengan berkesan.
Dalam kenyataan sama, bekas Naib Presiden PKR itu merakamkan ucapan terima kasih dan rasa terhutang budi kepada semua anggota parti yang telah melaksanakan tanggungjawab memilih barisan pimpinan kanan bagi sesi 2022-2025.
“Pemilihan kali ini berlangsung pada masa parti berada di persimpangan yang bakal mencorakkan arus politik negara untuk sedekad akan datang,” katanya.
Pemilihan PKR 2022 berakhir dua hari lepas, setelah menyaksikan pengundian semula di 12 cabang melibatkan beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Sabah.
Pengumuman keputusan rasmi akan dibuat di Kongres Parti Keadilan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Jun ini.
AWANI Ringkas: Keputusan rasmi Pemilihan PKR muktamad
#pemilihan PKR #Rafizi Ramli #Anwar Ibrahim #PKR #pilihan raya #PRU15
;