Razman dicabar buktikan ada gerakan mahu tumbang kerajaan negeri Perak - Arafat
Fareez Azman
Mei 21, 2023 16:32 MYT
Mei 21, 2023 16:32 MYT
KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad hari ini mencabar Pesuruhjaya Pas Perak untuk membuktikan dakwaan ada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan berjumpanya berhubung gerakan menumbangkan kerajaan negeri.
Justeru Razman dicabar menggunakan peluang ketika pemilihan Senator Dewan Negara pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Khamis ini untuk membuktikan dakwaannya itu.
"Saya cabar beliau gunakan peluang semasa pengundian memilih Senator pada 25 Mei 2023 (Khamis) untuk membuktikan angka dalam proses meluluskan usul memilih Senator Dewan Negara bagi mewakili negeri Perak pada sidang DUN Perak yang akan bermula dari Isnin 22 Mei 2023 jika benar dakwaan beliau," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Tambah Arafat lagi, kenyataan Razman menggambarkan kononnya Kerajaan Perpaduan Perak tidak stabil hanya memberi kesan buruk kepada negeri itu.
"Jelas niat Razman untuk menggambarkan kononnya kerajaan Perpaduan Perak tidak stabil supaya pelabur-pelabur kurang yakin dan akan memberi kesan kepada pembangunan, peluang pekerjaan serta ekonomi di negeri ini akhirnya yang akan menyusahkan rakyat," jelasnya lagi.
Tambah ADUN Hulu Kinta itu lagi, Kerajaan Perpaduan Perak yang dipimpin Datuk Seri Saarani Mohamad kukuh dan jauh lebih stabil dalam memfokuskan pemulihan ekonomi negeri.
"Rakyat Perak sedia maklum Razman sebagai ‘pakar fitnah Perak ‘ kerana sebelum ini terbukti di Mahkamah bahawa kenyataan-kenyataan beliau sebagai fitnah dan tidak benar, maka dalam perkara ini pun sudah tentu sama," ujarnya lagi.
Razman sebelum ini dilaporkan mendakwa ada beberapa ADUN kerajaan negeri berjumpa dengannya ketika khabar angin mengenai gerakan menumbangkan kerajaan negeri Perak.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah dan nama ADUN kerajaan itu.
Sebaliknya Razman berkata, beliau mengalu-alukan jika benar ADUN kerajaan berkenaan mahu menyokong atau bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Perak.