Razali Idris tidak wajar wakili Kaukus Dewan Negara bagi pandangan kontroversi
Umavathi Ramayah
Februari 11, 2021 15:20 MYT
Februari 11, 2021 15:20 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara Pakatan Harapan Plus termasuk anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat kesal dengan kenyataan Senator Datuk Razali Idris yang menyifatkan tindakan mengkritik kerajaan di media sosial sebagai penyakit mental nombor satu yang memerlukan tindakan undang-undang lebih tegas dan agresif.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh 20 ahli Dewan Negara itu meminta Razali supaya lebih memperlihatkan kematangan sebagai ahli Dewan Negara dan tidak menyalahgunakan frasa ‘penyakit mental’ sesuka hati.
"Beliau tanpa sedikit pun rasa sensitif terhadap ramai pihak yang menderita menanggung kemurungan akibat ketidaktentuan ekonomi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan itu menambah, Razali berhak untuk bersuara sebagai seorang ahli Dewan Negara, namun tidak wajar mewakili kaukus apabila pandangan yang diutarakan penuh kontroversi dan bersifat partisan.
"Seboleh mungkin, seluruh ahli-ahli Dewan Negara harus menyahut seruan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim untuk menjadikan Dewan Negara sebagai suatu medan yang lebih bi-partisan," katanya.
Sebelum ini, Razali Idris mencadangkan satu rang undang-undang baharu berkenaan cercaan, hasutan dan carutan perlu diperkenalkan atau dengan meminda undang-undang sedia ada dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Dalam hal itu katanya, Parlimen juga boleh menggubal undang-undang menurut Perkara 10(2)(a) untuk menyekat kebebasan bersuara sekiranya ia berkenaan beberapa perkara antaranya, berkaitan keselamatan dalam negeri, prinsip moral, ketenteraman awam dan hubungan antarabangsa.
Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara telah ditubuhkan pada bulan Disember 2020 sebagai satu platform bi-partisan untuk menyiasat masalah-masalah yang dihadapi rakyat.
#Pakatan Harapan
#Dewan Negara
#perintah kawalan pergerakan
#undang-undang
#Parlimen
#kerajaan
#Rais Yatim
#Razali Idris
#Akta Komunikasi dan Multimedia