Rayuan Tajuddin akan dibawa ke mesyuarat MKT - Ahmad Zahid

Sinar Harian
Ogos 24, 2024 19:15 MYT
Ahmad Zahid ketika ditemui petugas media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Permohonan menyemak semula penggantungan keahlian Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman akan dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sendiri akan membawa perkara tersebut ke mesyuarat jawatankuasa pengurusan parti bagi mempertimbangkan nasib bekas Ahli Parlimen Pasir Salak.
Ia susulan pertemuan beliau bersama Tajuddin yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak apabila turut hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 pada Jumaat.
"Saya akan bawa (permohonan Tajuddin) ke Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk keputusan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
Veteran politik berkenaan dilihat hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 pada Jumaat, sekali gus mencetuskan reaksi pelbagai pihak.
Media melaporkan, beliau hadir bagi melepaskan kerinduannya pada parti tersebut.
Tajuddin sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti.
Susulan itu, beliau dilapor telah mengemukakan rayuan sebanyak empat kali, namun masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada parti. -- Sinar Harian
#rayuan Tajuddin #dibawa ke MKT #Zahid Hamidi #UMNO #PAU 2024