Rayuan SRC Najib: Baca penghakiman sebelum mohon pengampunan - Anwar
Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 25, 2022 16:03 MYT
Ogos 25, 2022 16:03 MYT
SUBANG: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak untuk membuat rayuan bagi mendapatkan pengampunan diraja.
Bagaimanapun, jelasnya pihak-pihak yang terus mendesak agar Najib diberikan pengampunan itu memahami dan membaca penghakiman yang telah dibuat oleh keseluruhan mahkamah terhadapnya.
Katanya ia memandangkan keputusan yang dibuat oleh mahkamah adalah sangat jelas berdasarkan fakta dan bukti yang telah dikemukakan.
“Itu hak masing-masing (memohon pengampunan diraja), tapi baca dulu penghakiman. Yang dia marah sangat dengan Hakim Nazlan itu, baca dulu keputusan dia.
“Dia (Najib) tak boleh jawab penghakiman itu maka dia cuba serang seperti mana yang disebut oleh Ketua Hakim Negara (Tun Tengku Maimun Tuan Mat) bahawa kes terlalu terang, baca dululah..jangan marah saja,” katanya ketika ditemui media selepas hadir selaku panel pada forum ‘Scripting Malaysia’s Economic Future’ di sini hari ini.
Tambahnya lagi, beliau sama sekali tidak pernah menghina Najib di atas apa yang menimpanya setelah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun kerana memahami perasaan ahli keluarganya.
Malah Anwar tidak bersetuju dengan mana-mana yang bersikap sedemikian yang dianggap seakan tidak menghormati perasaan ahli keluarga bekas perdana menteri itu.
“Sebab yang bercakap dan menyerang Datuk Seri Najib itu pun sebahagiannya ramai juga yang terpalit dengan perasuah-perasuah besar.
“Jadi jangan kita tunjuk bahawa kita ini senang dengan kesusahan orang tapi kita kena tunduk kepada hukum,” katanya lagi.
Di sebalik itu juga, Anwar turut mengingatkan bahawa kes membabitkan Datuk Seri Najib tidak hanya membabitkan SRC International Sdn Bhd sahaja.
Malah, katanya beberapa kes lain lagi masih berjalan jika pun Najib atau pihak yang lain mahu membuat sebarang rayuan pengampunan.
Malah sebahagian kes tersebut katanya lebih besar daripada kes SRC dan biarlah kes-kes tersebut berjalan seperti yang sepatutnya dahulu.
Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib berhubung penyelewengan dana SRC International sebanyak RM42 juta.