Rasuah politik dan kegiatan lompat parti ganggu tugas Dewan Rakyat - Ku Li

Astro Awani
Jun 25, 2021 19:09 MYT
Tengku Razaleigh menjelaskan ahli Dewan Rakyat berkewajipan, mengikut Sumpah Jawatan mempertahankan perlembagaan dan Dewan Rakyat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rasuah politik dan kegiatan lompat parti telah menganggu tugas Dewan Rakyat, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).
Dalam satu surat kepada kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bertarikh 25 Jun, Tengku Razaleigh menegaskan demokrasi berperlembagaan hanya dapat berfungsi sekiranya pengundi percaya kepada calon yang hendak menjadi wakil rakyat mereka.
"Rasuah politik seperti musuh dalam selimut dan lompat melompat parti memberi kesan buruk kepada kepercayaan terhadap demokrasi berperlembagaan kita.
"Ia akan menjahanam negara kita dan menderitakan rakyat. Pilihan raya demokratik tanpa integriti tidak guna satu sen. Maka kita harus bertindak sebelum terlambat," katanya.
Tengku Razaleigh menjelaskan ahli Dewan Rakyat berkewajipan, mengikut Sumpah Jawatan mempertahankan perlembagaan dan Dewan Rakyat.
"Sumpah Jawatan serius ini yang mendorong kita 'dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan' semestnya diberi makna politik sekiranya kita mahu meneruskan demokrasi berperlembagaan kita, mempertahan kedaulatan undang-undang dan integriti negara kita," katanya lagi.
Beliau menggesa agar Dewan Rakyat menjalankan tanggungjawabnya seperti yang tercatat dalam Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
Menurut Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO itu, gesaannya itu dibuat bagi memastikan Dewan Rakyat yang semakin tidak dihormati rakyat dapat diatasi demi maruah negara.
Tengku Razaleigh menjelaskan, menurut Akta tersebut Yang di-Pertua Dewan Rakyat mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan penentuan sama ada ahli-ahli Dewan bertindak bertentang dengan Seksyen 8(d).
"Dewan Rakyat adalah paksi kepada Perlembagaan kita. Sekiranya Dewan Rakyat gagal, Perlembagaan juga akan gagal dan pastinya negara tercinta ini akan terancam.
"Dewan Rakyat akan gagal sekiranya ia tidak lagi dapat menjalankan tugas sebagai Dewan kepada 'wakil-wakil rakyat yang dipilih dan diberi mandat ketika berlangsungnya pilihan raya," katanya lagi.
Tengku Razaleigh juga menjelaskan wakil yang dipilih ke Dewan Rakyat diberi gelaran yang berhormat kerana mereka diharap berhemah tinggi disamping mempertahankan integriti dan menghormati janji mereka kepada pengundi.
Jelas beliau, sekiranya janji tidak ditepati, ia adalah penipuan terhadap Perlembagaan dan sumpah jawatan.
"Apa yang tersebut di atas ialah asas sistem demokrasi berperlembagaan kita. Ia adalah janji kesetiaan kepada rakyat dengan jaminan terhadap penghormatan kepada Perlembagaan dan integritinya.
"Satu-satunya tugas penting yang diliputi janji ini ialah memastikan calon Perdana Menteri, jawatan keperlembagaan terkanan dengan pelbagai kuasa, disokong Dewan Rakyat dan bersih daripada korupsi politik," katanya lagi.
Tengku Razaleigh mendakwa, Perdana Menteri yang sedia ada tidak mempunyai mandat Dewan Rakyat untuk mendapat hak keperlembagaan terhadap jawatan beliau.
Lebih malang lagi jelas Tengku Razaleigh, Dewan Rakyat pula tidak diberi hak melaksanakan tugas keperlembagaannya untuk menentukan sama ada beliau berhak menjadi Perdana Menteri yang bersih daripada korupsi politik.
"Usul-usul yang dikemukakan ke Dewan Rakyat tidak berguna kerana Yang di-Pertua tidak melaksana tugasnya sebagai Speaker dengan membenar seorang menteri Kabinet menentukan sama ada usul itu boleh dibahas atau tidak.
"ini bermakna tugas Dewan Rakyat tidak dihirau dan sekaligus bercanggah dengan sumpah jawatan," katanya.
Tegas beliau, keadaan ini membuatkan timbul kemelut lompat parti yang memalukan Dewan Rakyat kerana ia seolah-olah dipersendakan.
Katanya, keadaan itu juga membuatkan rakyat menganggap Dewan yang mulia itu sudah kehilangan maruah.
"Orang ramai tidak percaya wakil rakyat yang mungkir janji terhadap ikrar mereka dipilih berasaskan sesuatu sebab atau prinsip tertentu.
"Umum mempercayai wang dan ketakutan mempengaruhinya," katanya.
#Tengku Razaleigh Hamzah #surat #Speaker #Azhar Azizan Harun #wakil rakyat #Dewan Rakyat #Rasuah #kabinet #integriti #undang-undang #Gua Musang #Perdana Menteri #Parlimen #pilihan raya #Ku Li
;