[RASMI] PRN Johor: Kubu Muhyiddin ditawan BN
Shuhada Abdul Kadir
Mac 12, 2022 23:30 MYT
Mac 12, 2022 23:30 MYT
TANGKAK: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang sebelum ini disandang oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali ditawan oleh Barisan Nasional (BN).
Calon BN, Sahrihan Jani yang dipertaruhkan parti itu berjaya meraih 7,960 undi menewaskan calon PN Mohd Solihan Badri (4,814), calon PKR Naim Jusri (4,509) dan calon Pejuang Suraya Sulaiman (220) dengan majoriti 3,146 undi.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan salah satu kerusi DUN yang disebut-sebut sebagai kubu kuat Muhyiddin selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU)14 lalu dengan majoriti 3,088 kembali bertukar tangan.
Untuk rekod kawasan DUN Gambir di bawah Parlimen Ledang, yang merupakan kerusi tradisi MIC dikuasai oleh Datuk M Asojan selama empat penggal sejak PRU10 lalu sebelum tewas ditangan Muhyiddin menerusi saingan tiga penjuru pada PRU lalu.
Sementara itu, bagi kerusi DUN Bukit Pasir di bawah Parlimen Pagoh, turut dikuasai oleh calon BN Ir. Mohamad Fazli Mohamad Saleh dengan majoriti 198 undi selepas berdepan saingan enam penjuru.
Mohamad Fazli yang merupakan calon muka baharu berjaya meraih 6,048 undi menewaskan calon PN Iqbal Razak (5,850), calon Pakatan Harapan (PH) (4,676), calon Pejuang Mohd Akhiri Mahmood (196) dan dua calon Bebas Najib Lep (1,860) serta Johar Haji Siraj (207).