Ras Adiba terperanjat Nurulhidayah kongsi 'bisikan' pada umum

Sinar Harian
Julai 11, 2023 14:11 MYT
Ras Adiba menegaskan, permintaan yang dibuat adalah semata-mata untuk diberi peluang bertugas atas pengalaman dan kesungguhannya. - Gambar fail
SHAH ALAM : Bekas Senator, Datuk Ras Adiba Radzi berkata, sebagai seorang yang bekerja dan berstatus orang kurang upaya (OKU) beliau perlu terus berusaha untuk bekerja seperti insan lain.
Kerana itu, beliau pernah 'berbisik' kepada Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berhubung penyambungan kontrak sebagai Senator di Dewan Negara dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Namun, beliau menegaskan, permintaan yang dibuat adalah semata-mata untuk diberi peluang bertugas atas pengalaman dan kesungguhannya.
"Sebenarnya saya sedikit terperanjat kerana beliau kongsikan bisikan saya pada umum. Selalunya kita berbisik adalah sebagai rahsia. Namun saya bersyukur Alhamdulillah kerana beliau begitu baik budi kongsikan luahan hati saya.
"Saya beritahu kepada beliau sekiranya ada peluang tolong beritahu (TPM) dan bisikkan yang saya ingin terus bertugas dan terus bekerja untuk komuniti saya dan memperkasakan komuniti saya.
"Itu tidak salah pada saya. Sebagai seorang manusia dan umat Islam, kita seharusnya berusaha," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ras Adiba mengulas dakwaan Nurulhidayah bahawa beliau meminta beliau 'berbisik' kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai penyambungan kontrak dua jawatan tersebut.
Nurulhidayah dalam dakwaan tersebut turut berharap keputusan Ras Adiba menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan disebabkan dua jawatan tersebut tidak disambung oleh kerajaan.
Mengulas lanjut, Ras Adiba berkata, pendedahan dibuat Exco Pergerakan Wanita UMNO itu memberi ruang lebih besar agar masyarakat tahu mengenai pembabitan dengan Bersatu.
Justeru beliau mengucapkan terima kasih kepada Nurulhidayah dan turut mendoakan kesembuhan Ahmad Zahid.
"Penyertaan saya dengan Bersatu adalah untuk menyokong aspirasi Bersatu dan untuk kesejahteraan rakyat.
"Bagi saya, fokus saya selain OKU adalah untuk warga emas di Negeri Sembilan terutamanya kawasan kampung saya di Seri Menanti," katanya.
Ras Adiba Radzi mengangkat sumpah sebagai senator pada 20 Mei 2020 dan dilantik sebagai Pengerusi Bernama pada 24 November 2020.
Beliau dilapor menyertai Bersatu dan menerima watikah pelantikan pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan pada Ahad. - Sinar Harian
#Ras Adiba #Nurulhidayah Ahmad Zahid #PRN #Bersatu
;