Ramli Mohd Nor, Alice Lau dilantik Timbalan Speaker Dewan Rakyat

Hasimi Muhamad
Disember 19, 2022 14:47 MYT
Ramli dan Alice dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dua wakil blok kerajaan iaitu Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Md Nor dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.
Keputusan dicapai melalui undi bersurat dalam kalangan ahli Parlimen.
Keputusan diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menyaksikan Ramli memperoleh 148 undi, manakala Alice mendapat 146 undi.
Sementara itu, seorang lagi calon iaitu Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mewakili blok pembangkang memperolehi 74 undi.
Usul undi percaya, pelantikan Speaker tumpuan hari pertama persidangan Dewan Rakyat
Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan Ramli daripada Barisan Nasional (BN) dan Alice daripada DAP sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat serta disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mencadangkan jawatan berkenaan diisi oleh Mas Ermieyati, yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) bagi mewakili blok pembangkang.
Usul berkenaan disokong oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed (PN-Pas).
Pada persidangan sebelum ini, jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat disandang oleh Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said.
Dewan Rakyat | Anwar ketuai angkat sumpah 222 ahli Parlimen
Bagaimanapun pada 23 Ogos tahun lepas, Azalina melepaskan jawatan itu, tetapi masih menjalankan tugas sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sementara sepanjang tempoh persidangan berlangsung.
BACA: Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan esok.
Ia adalah Persidangan Dewan Rakyat pertama di bawah Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu.
#Timbalan Speaker Dewan Rakyat #Kerajaan Perpaduan #Anwar Ibrahim #Johari Abdul
;