Ramkarpal yakin menang dengan majoriti besar
Rahimah Abdullah
Mei 24, 2014 08:42 MYT
Mei 24, 2014 08:42 MYT
Calon DAP bagi Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh Deo yakin mampu menang dengan majoriti besar pada hari pengundian Ahad ini.
Beliau sekaligus berhasrat meneruskan legasi penyandang kerusi parlimen itu sebelum ini, Karpal Singh.
Keyakinan itu disuarakan Ramkarpal semasa melakukan kempennya di Dewan Lim Lean Teng Hall.
"25 Mei bukan suatu gurauan. Ia adalah hari penting dalam hidup saya. Saya yakin kita akan menang dengan majoriti besar," ucap Ramkarpal Singh, calon DAP di Bukit Gelugor.
Tegasnya, beliau berhasrat meneruskan perjuangan Karpal Singh kepada penduduk Bukit Gelugor.
Ceramah perdana itu turut dihadiri pemimpin utama Pakatan Rakyat termasuk Lim Guan Eng dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pilihan Raya Kecil Bukit Gelugor pada Ahad ini menyaksikan persaingan empat penjuru antara calon DAP, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan dua calon Bebas.
Ramkarpal Singh akan menentang Naib Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan selain dua calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd. Abd. Sathar dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan.