Ramasamy dilantik Pengerusi MIC Perak ganti Elango
Bernama
Ogos 10, 2024 21:23 MYT
Ogos 10, 2024 21:23 MYT
SUNGAI SIPUT: Bendahari Agung MIC Tan Sri M. Ramasamy dilantik sebagai Pengerusi MIC Perak menggantikan Datuk V. Elango bagi penggal 2024-2027.
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan berkata Ramasamy bukan watak baharu dalam parti itu malah berpengalaman luas dalam arena politik di Perak termasuk pernah menyandang jawatan pengerusi sewaktu era kepimpinan bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel.
"Saya rasa pelantikan ini akan menguatkan lagi sokongan ahli parti dan pada masa yang sama dapat menarik sokongan ahli baharu terutama dalam kalangan belia bagi menyokong parti ini.
"Bagi Datuk Elango pula, kita akan beri satu tugas penting kepada beliau dan ia lebih membabitkan bidang kuasa parti di peringkat pusat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen MIC Perak 2024 di Pusat Konvensyen Tun S. Samy Vellu di sini hari ini.
Terdahulu, Ramasamy menerima watikah pelantikan daripada Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran dalam konvensyen yang dihadiri lebih 500 perwakilan dan ahli parti itu.
Sementara itu, Saravanan berkata MIC menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlandaskan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mahu kestabilan negara diperkukuhkan tanpa diganggu gugat oleh mainan politik pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata titah berkenaan akan dijadikan sebagai dokongan bagi memastikan MIC kekal relevan dalam membela nasib kaum India di negara ini.
"Kita akui buat masa ini, MIC berdepan cabaran penuh liku dalam memastikan parti ini terus relevan dan menjadi pilihan untuk membela nasib kaum India. Jadi, dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu kerajaan ini terus stabil, kami dengan rela hati menyokong penuh kerajaan demi memastikan tiada sebarang polemik politik berlaku," katanya.
-- BERNAMA