Ramai Senator dalam Kabinet cacatkan demokrasi negara - Saifuddin

Mohd Zalani Md Atan
Disember 10, 2022 17:14 MYT
Saifuddin berkata jumlah luar biasa lantikan menteri dan timbalan menteri yang berstatus Senator dalam Kabinet dilihat mencacatkan amalan demokrasi di Malaysia.
KUANTAN: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mempersoalkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melantik ramai Senator daripada kalangan pemimpin politik yang kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Saifuddin berkata jumlah luar biasa lantikan menteri dan timbalan menteri yang berstatus Senator dalam Kabinet dilihat mencacatkan amalan demokrasi di Malaysia.
Tambah Saifuddin, apa guna diadakan PRU jika mereka yang kalah yang ditolak oleh pengundi tetapi melantik mereka sebagai Senator dan menteri.
"Tapi kali ini ramai sangat baik menteri, baik timbalan menteri jadi tak payah buat pilihan raya lah lantik jer Senator dan jadi menteri dan timbalan menteri jadi apabila jumlah Senator luar biasa ramainya dalam Kabinet, pada saya dia mencacatkan amalan demokrasi di Malaysia," katanya.
Saifuddin berkata, sepatutnya pelantikan menteri atau timbalan menteri melalui Senator hanya dibuat apabila terdapat keperluan membawa seseorang individu yang mempunyai kepakaran atau pengalaman tertentu ke dalam Kabinet.
Antara Senator yang dilantik ke dalam kabinet Anwar adalah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Datuk Mohd Na’im Mokhtar; Fuziah Salleh dan Saraswathy Kandasamy.
#kerajaan Persekutuan #Saifuddin Abdullah #PRU15 #lantikan Senator #Anwar Ibrahim #PM10
;