Ramai nyatakan hasrat untuk sertai parti Warisan - Shafie

Tan Su Lin
Oktober 19, 2016 15:23 MYT
Shafie menyerahkan kepada setiap individu untuk memutuskan sama ada untuk menyertai parti pembangkang tempatan itu. - Astro AWANI/Shahir Omar
Ramai yang telah menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) dibawah kepimpinan presiden, Datuk Seri Shafie Apdal, termasuk beberapa anggota parti Umno.
Tanpa mendedahkan sama ada individu berkenaan adalah anggota biasa ataupun dari kepimpinan Umno bahagian atau negeri, Shafie menyerahkan kepada setiap individu untuk memutuskan sama ada untuk menyertai parti pembangkang tempatan itu.
"Ada beberapa ahli Umno (yang akan sertai Warisan) tidak baik cakap besar yang penting adalah hasilnya. Ada pihak yang mengatakan kita baru parti baharu, tidak apa kita serah kepada rakyat untuk menilai mana satu landasan dan kepimpinan yang mereka mahu.
"Tumpuan kami adalah mengambil alih kerajaan sedia ada," katanya ketika ditemui pemberita di luar lobi parlimen.
Ditanya sama ada Warisan akan bekerjasama dengan mana-mana parti lain untuk menentang Barisan Nasional (BN) di Sabah, ujarnya parti itu sedang menumpu kepada usaha menggerakkan jentera parti di peringkat akar umbi.
"Rakyat mahu kita mengubah Sabah jadi mana-mana pihak yang mahu tumbangkan BN, kita boleh duduk semeja. Tetapi buat masa ini saya belum boleh beritahu berapa kerusi yang akan dibahagikan dan sebagainya sebab kita perlu turun padang terlebih dahulu untuk melihat penerimaan rakyat terhadap kami sebagai parti baharu," katanya.
Sementara itu, Shafie berkata beliau akan mengundi untuk tidak menyokong usul hudud Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil menyifatkan pendirian parti beliau juga sama seperti Sarawak.
"Saya tidak akan menyokongnya sama seperti pendirian Sarawak," katanya.
BN Sarawak sebelum ini menegaskan bahawa mereka tidak akan menyokong usul yang dibawa oleh Hadi iaitu Rang Undang-Undang Ahli Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).
#Barisan Nasional #Parti Warisan Sabah #Sabah #Shafie Apdal #UMNO #Warisan
;