Rakyat sudah muak dengan propaganda pembangkang - Azalina Othman
Astro Awani
Jun 19, 2016 17:50 MYT
Jun 19, 2016 17:50 MYT
Rakyat sudah muak dengan propaganda yang dibawakan pembangkang termasuklah tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turun berkempen untuk Pakatan Harapan (PH).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata demikian dalam satu kenyataan sebagai mengulas keputusan di Pilihan Raya Kacil (PRK) parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar pada Sabtu yang menyaksikan kedua-dua kerusi berjaya dikekalkan oleh Barisan nasional (BN) dengan pertambahan majoriti.
Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan itu berkata, rakyat semakin bijak menilai antara permata dan kaca apabila memilih rekod cemerlang BN berbanding langkah sumbang PH yang kini ibarat retak menanti belah.
“Kedua-dua PRK ini sedikit sebanyak menjadi kayu pengukur kepada gerak kerja BN khususnya di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kemenangan ini juga membuktikan rakyat bijak memilih demi memastikan kesinambungan pembangunan yang telah dibawa BN dan tidak terpengaruh dengan polemik yang dicetuskan pembangkang,” kata beliau yang berterima kasih kepada pengundi di kedua-dua PRK berkenaan.
Azalina berkata, berkat muafakat, kerja kuat dan tiada unsur sabotaj di dalam parti meletakkan BN di landasan yang tepat bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah juga diucapkan kepada seluruh pucuk pimpinan dan jentera BN yang bertungkus-lumus untuk memastikan kemenangan berkembar di kedua-dua PRK ini,” ujarnya yang turut mengucapkan selamat berkhidmat kepada dua ahli Parlimen baharu iaitu Budiman Mohd Zohdi dan Datin Mastura Yazid.
#Azalina Othman
#Barisan Nasional
#pembangkang
#PRK Kuala Kangsar
#PRK Sungai Besar
#propaganda
#UMNO