Rakyat sinis terhadap politik kerana isu rasuah, biadab dan zalim - Anwar
Raja Hisyam Raja Zaid
Julai 2, 2022 14:20 MYT
Julai 2, 2022 14:20 MYT
PETALING JAYA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui, sebahagian besar daripada rakyat memandang sinis terhadap sikap ahli-ahli politik di negara ini.
Menurut Ketua Pembangkang, pandangan sinis itu tercetus ekoran sikap dan tabiat segelintir penggiat politik khususnya mereka yang terpalit pada skandal rasuah selain tindakan biadab dan zalim yang diperlihatkan.
Sekalipun, pandangan sedemikian wujud, namun, tegas Anwar, itu bukan pilihan untuk mengenepikan keperluan dan perananan sistem politik yang ada dalam memastikan perubahan ke arah yang lebih baik.
"Kita punyai tanggungjawab. Ya, ada (rakyat) yang sinis terhadap politik kerana perangai politikus yang rasuah, biadab dan zalim.
"Tapi kena ingat, kalau sudah pilih menolak politik kita menghumbankan masa depan anak-anak kita kepada satu lembah yang hina ditentukan oleh orang-orang yang korup memimpin kita," tegas Anwar memberi peringatan itu ketika berucap pada Sidang Nadi Rakyat di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Anwar tidak menafikan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang pernah diberi peluang memerintah negara selama 22 bulan turut memiliki kelemahan.
Namun, Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak pula menolak bahawa gabungan itu sebetulnya sudah menggunakan ruang dan kesempatan itu dengan sebaiknya.
Kesempatan dalam waktu tersebut, jelas Anwar, telah digunakan sebaik mungkin oleh beberapa pemimpin PH termasuk Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook yang mengetuai Kementerian Pengangkutan ketika itu yang dianggap cemerlang.
Begitu juga pendedahan berani terhadap penyelewengan melibatkan berbilion ringgit oleh Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu ketika menerajui Kementerian Pertahanan.
Namun, apa yang berlaku ketika ini, tegas Anwar, telah mengakibatkan keadaan lebih buruk sehingga menyaksikan jurang kemiskinan kian melebar selain kepincangan yang ketara.
"Siapa yang mampu sangkal bahawa kemiskinan itu lebih merudum? Siapa yang boleh memungkiri kenyataan kesenjangan di antara maha kaya dan miskin itu kian melebar?
"Siapa yang boleh menafikan orang elit politik, menteri, pemimpin-pemimpin politik mengaut kekayaan untuk diri mereka dan menggunakan dan memperalatkan rakyat pada pilihan raya?" soal Anwar lagi.
Sementara itu, Sidang Nadi Rakyat yang berlangsung hari ini merupakan forum untuk rakyat menyurakan rintihan serta kesengsaraan yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup dan barang.
Sidang Nadi Rakyat menghimpunkan seluruh segmen rakyat yang terkesan secara langsung.
Selain Anwar, beberapa pemimpin lain PH turut menghadiri Sidang Nadi Rakyat sebagai tanda solidariti.