Rakyat Sepanggar tidak kisah calon luar bertanding
Fifi Harteeny Marzuki
April 29, 2018 16:16 MYT
April 29, 2018 16:16 MYT
Sentimen 'calon luar' bukanlah faktor yang menghalang masyarakat di kawasan Parlimen Sepanggar untuk merasai kehangatan calon muka baharu yang akan bertanding di kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Bagi Julianah Kuritong, 50, isu calon luar yang bertanding di kerusi panas Parlimen Sepanggar bukanlah satu isu besar yang harus dibangkitkan kerana baginya apa yang paling penting adalah calon yang diberi mandat dapat membangunkan kawasan tersebut.
Jelasnya, kewibawaan calon tersebut dalam membentuk Sepanggar sebagai satu kawasan yang pesat membangun dalam menjana ekonomi masyarakat dan juga negeri Sabah juga perkara penting untuk dibangkitkan.
"Jadi sesiapa pun yang akan diberi mandat untuk mentadbir, kami mahu pemimpin tersebut dapat buat yang terbaik untuk Sepanggar khususnya pembangunan di kawasan ini," katanya.
Turut senada, Datuk Abdul Razak Sulaiman, 55 yang tidak kisah tentang latar belakang kedua-dua calon tersebut.
Baginya, apa yang lebih penting adalah calon itu dapat membawa pembangunan ke kawasan Sepanggar ke peringkat yang lebih tinggi.
"Kami (penduduk) Sepanggar tidak memilih calon berdasarkan latar belakang asal mereka. Apa yang lebih penting sesiapa calon yang menang akan membawa pembangunan di kawasan ini," katanya.
Sementara itu, lain pula pendapat Ayunah Majabin, 47, apabila dia menegaskan bahawa rakyat Sepanggar lebih mempercayai kepimpinan calon BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan untuk mentadbir dan membangunkan kawasan Sepanggar.
Baginya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu adalah calon sesuai untuk mentadbir Sepanggar yang dahagakan pembaharuan berbanding dengan calon pembangkang.
"Kita sudah tahu bahawa Datuk Seri Abdul Rahman adalah menteri yang mana kita sudah nampak pencapaian dan perubahan yang dibawa olehnya melalui siaran berita, televisyen mahupun di luar, jadi itu tidak akan menjadi satu masalah.
"Tetapi, Datuk Azis Jamman pula kita tidak tahu dia orang mana, ada orang cakap dia orang Tawau dan ada yang cakap dia dari Semporna tetapi kita tidak dapat menerima dia di sini," katanya.