Rakyat Sarawak sertai Bersatu kerana mahu lawan rasuah - Akar umbi
Diyana Ibrahim
Disember 3, 2018 10:51 MYT
Disember 3, 2018 10:51 MYT
Slogan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang melawan rasuah dan salah guna kuasa menjadi tarikan kepada rakyat Sarawak untuk menyertai parti dari Semenanjung itu.
Perkara itu diakui Tamrin Rasib, 54, yang menjadi ahli Bersatu sejak April lalu.
“Kita mahu kesaksamaan hasil negeri yang dapat dinikmati oleh semua orang. Tidak hanya kepada pemimpin saja.
“Dan itu apa yang ditawarkan Bersatu,” kata Tamrin sewaktu ditemui Astro AWANI semasa majlis pelancaran Bersatu Sarawak di Dewan Suarah Bintulu Sabtu lalu.
Tamrin yang tinggal di Samarahan itu berkata, dia menempuh perjalanan hampir 9 jam ke Bintulu semata-mata untuk bersama meraikan malam perasmian tersebut.
Luah beliau, rakyat Sarawak menuntut perubahan apatah lagi apabila dasar kerajaan negeri langsung tidak mesra terhadap golongan petani dan warga emas sepertinya.
Sebagai contoh, katanya, warga emas sukar mendapatkan rawatan di hospital kerana kedudukan terlalu jauh ke bandar.
“Selama ini golongan petani tidak terbela, mereka tidak pernah dapat apa peruntukan.
“Apa yang perdana menteri kata, bahawa Sarawak ini walau negeri yang kaya tapi rakyat tidak menikmati hasilnya, betul itu. Ini apa yang kami rasa selama ini dan kini kami mahukan perubahan,” tuturnya dalam dialek Sarawak pekat.
Tambahnya, selama berpuluh tahun beliau melihat berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan menggunakan duit peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat.
“Bila kami nak minta bantuan, memang tidak pernah dapat. Tapi peruntukan itu ada.
“Kalau dapat pun bukan dekat kami tapi itu 'orang mereka' juga yang dapat," luahnya.
Kejayaan Bersatu bertapak di Sarawak membangkitkan persoalan mengapa sebuah parti dari Semenanjung dan dikenali sebagai serpihan Umno dapat bertapak di Sarawak.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya berkata Bersatu membuka partinya di Sarawak atas permintaan rakyat di negeri itu.
Beliau berkata sehingga ini, keahlian Bersatu di negeri yang dikenali sebagai Bumi Kenyalang itu sebanyak 30,000.
Kehidupan luar bandar
Bagi Pekan Bujang, 60, dia melihat Bersatu dapat membela nasib rakyat Sarawak terutama di kawasan pedalaman.
Sama seperi Tamrin, Pekan menyertai Bersatu sejak April lalu.
Anak jati Melayu Samarahan itu berkata kehidupan masyarakat Sarawak di luar bandar sangat sukar dan serba kekurangan.
“Masalah kita orang kampung ini nak cari makan susah , kemudian di kampung ini kehidupan sukar kemudahan tidak ada, air,elektrik, perparitan ada kawasan sering banjir namun tidak dilakukan apa-apa.
Faktor BN tumbang di Semenanjung
Bagi seorang lagi ahli Bersatu Sarawak, Hadi Mat, 57, kejayaan Pakatan Harapan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu telah membuka mata rakyat Sarawak.
Hadi yakin Bersatu mempunyai peluang mengukuhnya pengaruh di Sarawak sekali gus memenangi Pilihan Raya Negeri PRN dijangka akan diadakan pada 2021
“Ramai orang Sarawak yang mahu masuk Bersatu. Kalau PRN ini, boleh menang. Sambutan itu ada.”
Ditanya mengapa Bersatu dapat bertapak di negeri itu sedangkan tidak pada UMNO, jawabnya ia adalah kerana dasar keterbukaan kerajaan pemerintah ke atas parti dari Semanjung tersebut.
“Dulu UMNO memang tidak dibenarkan, tapi sekarang apa saya tengok bila Bersatu dibuka maksudnya memang kerajaan tidak menghalang," katanya.
Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen. Pada PRU-14, gabungan BN memenangi 19 kerusi dan Pakatan Harapan pula sebanyak 10 kerusi.Dua kerusi lagi dimenangi calon bebas.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pula mempunyai 82 kerusi. Daripada jumlah itu, BN memenangi 72 kerusi dalam pilihan raya negeri Mei 2016.
Sarawak kini ditadbir Gabungan Parti Sarawak selepas kekalahan BN pada PRU14.
Manakala Liban Anak Malan, 70 berkata menyertai Bersatu kerana tertarik dengan perjuangan parti itu yang melawan korupsi.
“Saya sertai kerana Bersatu perjuangkan keadilan tolak rasuah. Saya sokong itu. Kita sudah tidak mahu ada rasuah lagi di sini,” katanya yang ketika itu memakai baju rasmi Bersatu.
Katanya menyertai Bersatu pada Julai lalu dan dakwanya ramai kaum Iban yang mahu menyertai parti itu.
Selain itu Liban berkata faktor Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga antara sebab Bersatu mendapat sokongan di Sarawak.