'Rakyat Malaysia tidak bodoh' - Syed Saddiq kecam kenyataan Abdul Rashid

Irwan Muhammad Zain
Disember 31, 2018 06:00 MYT
Syed Saddiq yakin golongan muda akan memainkan peranan penting dalam menghalang kembalinya amalan tidak betul yang pernah diamalkan sebelum ini. - Gambar fail
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan rakyat Malaysia tidak bodoh dan yakin pemimpin tertinggi parti itu juga akan menentang usaha mengembalikan amalan politik naungan.
Beliau menegaskan pemimpin pemuda parti komponen Pakatan Harapan (PH) juga menentang usaha mengembalikan amalan tersebut.
Beliau juga yakin golongan muda akan memainkan peranan penting dalam menghalang kembalinya amalan tidak betul yang pernah diamalkan sebelum ini.
"Saya merasakan orang muda adalah masa depan dan saya yakin perubahan minda akan terjadi jika kita melakukannya dengan betul," katanya kepada pemberita selepas program Street Dakwah anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) malam tadi.
Syed Saddiq mengulas kenyataan Naib Presiden Bersatu Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang menggesa pemimpin yang dilantik sebagai menteri memberi kontrak kepada ketua bahagian untuk mengekalkan kuasa.
Abdul Rashid menyifatkan pihak yang membantah penggunaan sumber kerajaan oleh parti untuk mengekalkan kuasa sebagai "bodoh."
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada Ahad.
Bagaimanapun, kenyataan Abdul Rashid itu dikecam pemimpin Armada Bersatu dan pemimpin pemuda parti komponen PH.
Sementara itu, mengulas program Street Dakwah anjuran PKPIM tersebut, Syed Saddiq menyambut baik usaha murni yang dilakukan untuk memastikan anak muda tidak melakukan perkara yang tidak bermoral.
#Abdul Rashid Abdul Rahman #Bersatu #ketua bahagian #kontrak #KUASA #Malaysia #menteri #Pakatan Harapan #politik naungan #projek #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
;