Rakyat mahu semua ahli politik bekerjasama ketika krisis - Penganalisis

Astro Awani
Ogos 16, 2021 06:22 MYT
Ahmad Martadha berkata, cadangan yang dikemukakan Zahid agak munasabah mengambil kira krisis dihadapi negara ketika ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Rakyat mahukan semua ahli politik bekerjasama ketika negara sedang berdepan krisis kesihatan dan ekonomi ketika ini, kata penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Ahmad Martadha Mohamed.
Ahmad Marthada berkata, rakyat mahu ahli politik keluar daripada kepompong parti dan bekerjasama demi menyelesaikan masalah yang dihadapi.
"Apa yang rakyat mahukan ialah semua pihak bekerjasama selepas kerajaan Perikatan Nasional telah tiada dan rakyat mahu semua ahli politik duduk berbincang.
"Bagi rakyat dalam keadaan sekarang, kenapa ahli politik tidak mahu duduk berbincang menubuhkan kerajaan perpaduan, kenapa masing-masing tidak mahu ketepikan kepentingan parti dan peribadi demi rakyat?
"Apa yang berlaku hari ini, rakyat kecewa dengan ahli politik hingga merasa tersisih dan merana," katanya kepada Astro AWANI malam tadi.
Kemelut Politik | Kesinambungan peranan PM 'caretaker'
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Agong perkenan peletakan jawatan Muhyiddin, lantik beliau PM 'caretaker'
Beliau juga berpendapat, cadangan yang dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu sebuah kerajaan yang stabil untuk satu tempoh tertentu ditubuhkan merupakan satu cadangan yang relevan.
"Cadangan itu agak relevan kalau kita lihat kes COVID-19 di negara kita ini. Apakah ia akan mudah untuk dilaksanakan, itu perkara lain, kerana buat masa ini perlu ada pasukan yang boleh memberi tumpuan kepada isu-isu yang cuba ditangani sebaik mungkin oleh kerajaan sebelum ini," katanya.
Dalam satu kenyataan, Zahid menjelaskan UMNO akan mencadangkan beberapa nama untuk mengetuai sebuah kerajaan baharu yang akan dibentuk susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Zahid juga mencadangkan agar sebuah kerajaan yang stabil untuk satu tempoh yang munasabah dan memberi perhatian kepada usaha melawan pandemik COVID-19 ditubuhkan.
Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong ketika menghadap baginda di Istana Negara pada Isnin.
BACA: Agong perkenan peletakan jawatan, lantik Muhyiddin sebagai 'caretaker' PM - Istana Negara
Tindakan itu diambil selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional.
Beliau yang juga Presiden Bersatu dilantik sebagai Perdana Menteri pada 29 Februari 2020 ekoran krisis politik selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan.
#Muhyiddin Yassin #letak jawatan #Perdana Menteri #UUM #Ahmad Martadha Mohamed #ahli politik #bekerjasama
;