Rakyat mahu pelantikan MB Perlis disegerakan
Salim Aziz
Mei 21, 2018 21:51 MYT
Mei 21, 2018 21:51 MYT
Biarpun sudah memasuki hari ke-12, kemelut siapa bakal menjadi Menteri Besar (MB) Perlis masih terus diperkatakan.
Walaupun ada ura-ura MB penggal lalu, Datuk Seri Azlan Man akan dinobatkan kembali setelah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong, desas-desus itu “dipatahkan” selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini umum mencadangkan adiknya, Datuk Ismail Kassim sebagai MB baharu.
Namun difahamkan setakat ini, pencalonan Ismail masih belum mendapat perkenan pihak Istana.
Selain dua calon itu, terdapat seorang lagi yang juga disebut-sebut sebagai calon MB iaitu ADUN Santan, Azizan Sulaiman.
Dengan pengalaman luas dalam politik negeri dan menjawat Timbalan Ketua Bahagian UMNO Padang Besar, Azizan juga disebut-sebut bakal dipilih bagi meneruskan segala pembangunan yang dirancangkan di negeri itu.
Astro AWANI mendekati rakyat Perlis bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung isu berkenaan.
Rata-rata yang ditemui senada dan menerima sesiapa pun yang bakal dilantik, selagi individu itu benar-benar layak menjawat jawatan nombor satu di negeri itu.
"Dari segi kriteria, kita mahu MB yang boleh diterima rakyat, yang cergas dan mampu membawa pembangunan ke negeri ini," kata penyelaras Pemuda Cawangan Padang Besar, Abdul Razak Abd Rahim.
Bagi Roslan Ismail, pengerusi Persatuan Kami Anak Felda Cawangan Mata Ayer, rakyat juga mahukan seseorang yang kerap turun padang serta menyediakan peluang pekerjaan untuk anak-anak muda Perlis.
Namun begitu, rakyat berharap agar perlantikan itu dapat disegerakan.
Timbalan YDP PIBG SK Padang Besar, Zaini Tajudin, berkata: "Ia agak pelik sebab kita dah memangkah (mengundi) dah lama, dan tiada peralihan kuasa di Perlis pun, masih lagi Barisan Nasional.
"Jadi rakyat Perlis tentu hendak tengok sesuatu yang sepatutnya. Lantik MB, barulah sebuah kerajaan boleh berjalan.
"Peralihan kuasa Persekutuan pun sudah dibuat. Kita yang tidak beralih tetapi hanya mewarisi kerajaan negeri ni pun, tidak buat apa lagi," keluhnya.
Ujar Zaini, kini terserah kepada Tuanku Raja Perlis untuk perkenankan individu terbaik sebagai MB.
Pada Rabu lalu, 10 wakil rakyat BN dipanggil menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Difahamkan, tujuan baginda memanggil adalah bagi mengenali lebih dekat semua wakil rakyat berkenaan.
#Azizan Sulaiman
#Azlan Man
#Barisan Nasional
#Ismail Kassim
#Menteri Besar
#Perlis
#Shahidan Kassim