Rakyat Kelantan bosan dengan Pas, BN berpeluang menang - Ibrahim Ali
Irwan Muhammad Zain
Mac 22, 2018 16:22 MYT
Mac 22, 2018 16:22 MYT
Rakyat Kelantan sudah bosan dengan pentadbiran Pas yang gagal memberikan pentadbiran terbaik di negeri itu, kata Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali.
Atas faktor itu, Barisan Nasional (BN) lebih berpeluang untuk merampas negeri Cik Siti Wan Kembang itu dari Pas berbanding Pakatan Harapan (PH) pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Selain faktor kegagalan pentadbiran Pas, pertembungan tiga penjuru pada PRU14 nanti juga bakal menyaksikan pecahan undi antara BN, PH dan Pas.
"Macam di Kelantan, the battle is between Pas dan BN, Pakatan Harapan bergantung pada tsunami, bergantung pada wave maknanya bergantung pada nasiblah," katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa hari ini.
Pas mula menguasai kerajaan Kelantan selepas memenangi pilihan raya pada 1990 selepas membentuk kerjasama dengan Semangat 46.
Namun pada 2004, Pas hampir tumpas kepada BN selepas hanya memenangi dengan perbezaan dua kerusi Dewan Udangan Negeri (Dun).
Pas kembali mengukuhkan kedudukan di Kelantan pada PRU12 apabila membentuk gabungan bersama PKR dan DAP atas nama Pakatan Rakyat.
#Barisan Nasional
#DAP
#Dewan Undangan Negeri
#Gagasan Sejahtera
#Ibrahim Ali
#Kelantan
#Malaysia
#Malaysia Memilih
#Pakatan Harapan
#Pakatan Rakyat
#PAS
#Plihanraya Umum ke-14
#PRU14