Rakyat bosan dengar pemimpin bergaduh - Aminuddin
Bernama
Julai 30, 2023 16:17 MYT
Julai 30, 2023 16:17 MYT
SEREMBAN: Rakyat hari ini mahukan pemimpin yang mempunyai idea dan bertindak cepat bagi menyelesaikan isu setempat, bukan hendak mendengar pemimpin bergaduh, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat itu berkata jenteranya lebih fokus bertemu seramai mungkin pengundi bagi menjelaskan misi Kerajaan Perpaduan untuk memastikan nasib rakyat terus terbela dan sedaya mengelak kempen serangan peribadi calon lawan kerana ia tidak menyelesaikan masalah rakyat.
"Terpulang kepada mereka (serangan peribadi), bagi saya, jentera parti kena fokus dengan cara kempen iaitu mendengar permasalahan rakyat dan ambil maklum setiap perkara itu, Insya-Allah jika PH dipilih semula mentadbir, kita akan selesaikan isu dibangkitkan rakyat kali ini.
"Bagi saya, serangan peribadi tidak menyelesaikan masalah rakyat..rakyat hari ini bukan nak dengar kita bergaduh, rakyat nak dengar apa yang kerajaan nak buat," kata penyandang kerusi DUN Sikamat itu kepada pemberita selepas berkempen di Pasar Tani Paroi Jaya di sini.
Sementara itu Aminuddin berkata meskipun ada beberapa penganalis berpandangan kombinasi PH dan BN di Negeri Sembilan mampu menang bersih 36 DUN pada PRN kali ini, namun beliau menyifatkan ia satu cabaran bagi memastikan kemenangan besar diraih gabungan itu.
Pada PRN kali ini Aminuddin berdepan saingan empat penjuru, berdepan dengan Ahmad Raihan Muhamad Hilal (Perikatan Nasional) serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 12 Ogos dan pengundian awal pada 8 Ogos.
-- BERNAMA