Rakyat beri isyarat tolak UMNO, tetapi itu bukan pengakhirannya - Wanita UMNO
Atiqah Ismail
Jun 4, 2018 14:15 MYT
Jun 4, 2018 14:15 MYT
Wanita UMNO Sabah tekad perbetul kesilapan serta menganggap kekalahan pada pilihan raya umum lalu merupakan ruang untuk bermuhasabah diri dan perjuangan parti.
Menurut Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Azizah Mohd Dun, UMNO perlu bangkit semula memperbetulkan kesilapan yang mengakibatkan kekalahan parti itu selepas 60 tahun memerintah negara.
“Kita masih banyak kelebihan tetapi kita kena tengok balik mana kesilapan kita.
“Rakyat telah beri isyarat menolak kita tetapi itu bukan pengakhirannya. Mereka bagi peluang untuk kita muhasabah diri atau memperbetulkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Malah, beliau turut menegaskan, Wanita UMNO akan terus berdiri teguh bagi menyantuni suara akar umbi rakyat meskipun kerajaan hari ini ditunjungi oleh Pakatan Harapan.
“Perjuangan kita hari ini benar-benar memikirkan masa depan anak cucu kita.
“Kita tetap berhati waja selain akan terus bangkit mendekati rakyat seperti mana kita lakukan selama ini walaupun kita dalam keadaan serba kekurangan. Kita tidak akan lemah semangat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengingatkan semua ahli UMNO kekal menjadi penghubung atau saluran utama dalam memastikan suara rakyat didengari di peringkat tertinggi parti berkenaan.
#bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarak
#Datuk Azizah Mohd Dun
#muhasabah diri
#Naib Ketua Wanita UMNO
#tekad perbetul kesilapan
#Wanita UMNO Sabah