Rakyat akan terus tagih janji PH - Pemuda UMNO Kelantan
Sinar Harian
September 5, 2018 09:27 MYT
September 5, 2018 09:27 MYT
Rakyat akan terus bangkit menuntut janji selagi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal mengotakan janji sebagaimana termaktub dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, rakyat berhak menuntut janji tersebut selepas mereka memberi mandat kepada PH untuk menerajui tampuk pemerintahan negara.
"Selepas 100 hari diberi mandat memimpin negara, sudah mula kelihatan kegagalan Kerajaan PH mengotakan apa yang telah dijanjikan.
"Situasi ini membuatkan rakyat sudah mulai muak dengan kepimpinan PH yang semakin berdolak-dalik setiap kali diajukan pasal janji manifesto oleh rakyat," katanya.
Menurutnya, bukan itu sahaja rakyat juga sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, perdana menteri dilihat gagal mempertahankan hak dan keistimewaan raja-raja Melayu serta kedaulatan agama Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia.
"Ini dapat dilihat apabila satu persatu keputusan yang dibuat oleh pihak Kerajaan PH dilihat membelakangi kepentingan Melayu, Bumiputera dan agama Islam," katanya.
Noor Hariri berkata, Himpunan 100 Hari Janji Tinggal Janji di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor baru-baru ini adalah manifestasi rakyat yang sudah mulai sedar akan kemampuan Kerajaan PH.
Menurutnya, beliau percaya gelombang itu akan terus subur untuk menuntut janji-janji Kerajaan PH.
#100 hari
#Bumiputera
#hilang kepercayaan
#Islam
#janji
#Kelantan
#kepimpinan
#kerajaan baharu
#Mahathir Mohamad
#Manifesto
#Melayu
#Noor Hariri Mohamed Noor
#Pakatan Harapan
#Pemuda UMNO
#PH
#PRU14
#rakyat
#UMNO