'Rakyat akan nilai prestasi BN dan UMNO pada PRU ke-14' - Shahrir

Astro Awani
Ogos 15, 2015 14:12 MYT
SHAHRIR: 'Rakyat akan nilai prestasi BN dan UMNO pada PRU ke-14' - Gambar fail
Rakyat akan menilai sendiri prestasi UMNO serta Barisan Nasional (BN) serta membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Pengerusi Majlis Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, ia sekali gus akan memperlihatkan kesan kepercayaan rakyat terhadap parti itu berikutan pelbagai isu yang timbul.
Jelasnya, UMNO kembali menjadi pilihan rakyat selepas menyelesaikan pelbagai isu seperti skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC).
"Pada ketika ini, isu 1MDB dan derma politik menjadi perhatian khususnya di media sosial yang menjadi rujukan rakyat, ianya akan memberi impak kepada kelangsungan parti berkenaan untuk memerintah.
"Sebab tu kita lihat isu itu walaupun disiasat dan dibawa ke pengadilan di mahkamah dan sebagainya tidak bermakna akan hilang pendapat dan keputusan pihak tertentu, kesannya akan ditanggung oleh BN.
"Di dalam proses ini akhirnya pada PRU nanti adalah masa yang paling tepat untuk dihukum, rakyat akan hukum parti, rakyat buat keputusan dan pilihan pada masa itulah bagaimana soal-soal yang dibangkit oleh pembangkang dapat dijawab dgn meyakinkan oleh parti pemerintah" katanya semasa sidang media selepas merasmikan masyuarat perwakilan pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru di RnR Bistro Johor Bahru.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal menyeru ahli UMNO menyelesaikan masalah yang melanda akar umbi dahulu sebelum memberi tumpuan kepada isu lain termasuk berdepan dengan PRU ke-14
Shafie berkata, kepercayaan daripada akar umbi perlu dikekalkan selain menitikberatkan keperluan mereka.
BACA: Ada 'orang dalam' mahu guling kerajaan - Ahmad Zahid
BACA: Anggota akar umbi UMNO perlu berani suarakan pendapat - Khairy
BACA: 'Dana RM2.6 bilion, 1MDB bukan lagi isu remeh' - Muhyiddin
Dalam pada itu jelas Shahrir, rakyat perlu memberi ruang supaya segala isu yang dalam penyiasatan terutama 1MDB dapat diselesaikan tanpa sebarang tohmahan.
Namun katanya, selepas diselesaikan, ia terpulang kepada rakyat untuk terus meletakkan kepercayaan atau sebaliknya terhadap parti itu.
#1MDB #BN #BNBBC #NFC #PKFZ #UMNO
;