Raja Kamarul tolong jangan berpolemik lagi, letak sahaja jawatan - PAS
Astro Awani
September 8, 2015 21:29 MYT
September 8, 2015 21:29 MYT
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad diminta tidak berdolak-dalik sebaliknya melepaskan jawatan segera bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahari Mamat berkata, Raja Kamarul tidak perlu menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya mengosongkan sahaja kerusi parlimen Kuala Terengganu yang dimenanginya sebelum ini dengan menggunakan lambang PAS.
"Sebagai seorang pemimpin dan ahli Parlimen, dia bukan hanya bertangungjawab kepada Parlimen tetapi dia juga bertanggungjawab kepada rakyat dan juga parti.
"Itu tiga perkara yang perlu diambil dan dia tidak perlu menyalahkan ahli Parlimen negeri Terengganu yang lain."
Menurut Saiful, PAS sudah pun mengerakkan jentera bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat di kawasan parlimen itu.
Jelas Saiful lagi, Raja Kamarul sudah melanggar bai'ah ketika menjadi calon dan keahliannya sebagai ahli PAS telah digugurkan apabila menyertai Parti Amanah Negara yang dipimpin Mohamad Sabu.
Sementara itu, Presiden PAS,Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya akan meneliti laporan daripada badan perhubungan PAS negeri mengenai isu berkenaan.
Menurutnya, perkara itu akan diputuskan menerusi Mesyuarat Pimpinan Tertinggi PAS serta Majlis Syura Ulama.
"Kita akan mendengar laporan daripada perhubungan dulu. Mereka akan hantar laporan kepada jawatankuasa pusat dan kita akan teliti laporan itu," katanya hari ini.
Hadi turut menegaskan bahawa tindakan segelintir pemimpin dan ahli PAS yang keluar daripada parti itu di kawasan tertentu tidak akan menjejaskan parti itu.
Menurutnya, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli di beberapa negeri dan sokongan ahli-ahli di kawasan tersebut terhadap PAS masih lagi kukuh.
Beliau berkata, jawatan yang dikosongkan akan diisi dengan muka baru selepas satu mesyuarat agung diadakan di cawangan dan kawasan terbabit.
"Kalau kata jawatankuasa yang bubar, jawatankuasa itu sahaja yang bubar. Ahli-ahli yang datang berduyun-duyun menawarkan diri untuk mengambil alih jawatankuasa itu.
"Mengikut perlembagaan PAS, ia tidak akan terbubar dengan jawatankuasa letak jawatan. Kita boleh pangku jawatan itu dan boleh buat mesyuarat agung balik," jelasnya di sini.
Beliau berkata, PAS sudah mengalami cabaran lebih besar pada 1982 apabila ahli parlimen di Kelantan meletakkan jawatan beramai-ramai untuk menyertai Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) kecuali Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Menurutnya, PAS kemudian kembali bangkit dan membina kekuatan selepas pembersihan dalam parti berlaku dengan sendirinya.