Raja Bahrin umum tanding DUN dan Parlimen, cabar anak Presiden Pas di Batu Buruk
Astro Awani
April 26, 2018 19:33 MYT
April 26, 2018 19:33 MYT
Raja Kamarul Bahrin juga yakin PH Terengganu mampu menguasai sekurang-kurangnya 18 kerusi DUN dan separuh dari kerusi Parlimen. - Gambar fail
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mengumumkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu akan berdepan dengan anak presiden Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi di kerusi DUN Batu Buruk.
Menurut Raja Bahrin, pencalonannya di kerusi DUN dan Parlimen itu atas keperluan, sekaligus menafikan yang beliau bakal menjadi menteri besar jika Pakatan Harapan (PH) berjaya menguasai Terengganu.
“Saya rasa perkara itu tidak timbul, saya rasa itu bukan menjadi satu perkiraan. Ini atas keperluan keseluruhan parti dan juga PH yang kita rasa perlu ditangani dahulu.
“Calon menteri besar itu bukan satu isu yang kita hendak tangani waktu sekarang, bukan isu yang penting. Kita hanya perlu tumpukan untuk menang dahulu,” katanya selepas Majlis Pengisytiharan Calon Pakatan Harapan Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.
Raja Bahrin juga yakin PH Terengganu mampu menguasai sekurang-kurangnya 18 kerusi DUN dan separuh dari kerusi Parlimen.
Amanah akan bertanding di tiga kerusi Parlimen dan 11 DUN pada PRU14 dalam misi merampas Terengganu daripada tangan Barisan Nasional (BN).
Manakala Parti Keadilan Rakyat pula mempertaruhkan dua calon di kerusi Parlimen dan sebelas kerusi DUN.
Diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menampilkan tiga calon di kawasan Parlimen dan 10 di kerusi DUN.
Pada PRU13, Raja Bahrin yang bertanding atas tiket Pas di kerusi Parlimen Kuala Terengganu berjaya menewaskan calon BN, Datuk Mohd Zubir Embong dengan 10,785 majoriti undi.
#Abdul Hadi Awang
#Amanah
#Barisan Nasional
#Batu Burok
#Kuala Terengganu
#Malaysia
#Malaysia Memilih
#MalaysiaMemilih
#Menteri Besar
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#Parti Amanah Negara
#PAS
#pilihan raya
#PPBM
#PRU14
#Raja Bahrin
#Raja Kamarul Bahrin