Rahim Tamby Chik sertai Bersatu petang ini

Astro Awani
Disember 16, 2018 11:33 MYT
Abdul Rahim merupakan veteran UMNO dan juga bekas Ketua Menteri Melaka yang keenam selain pernah memegang Naib Presiden UMNO di peringkat akar umbi politik. - Gambar hiasan
Tan Sri Rahim Thamby Chik difahamkan akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada konvensyen parti itu di Melaka petang ini.
Menurut sumber, bekas Ketua Menteri Melaka itu akan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pada majlis berkenaan.
"Tan Sri (Rahim Tamby Chik) akan menyerahkan borang keahlian pada konvensyen ini.
"Mengikut jadual, sesi penyerahan borang keahlian dan sidang media akan dibuat pada pukul 3.30 petang ," kata sumber itu ketika menghubungi Astro AWANI pada Ahad.
BACA: Anggota Parlimen lompat parti perlu dedah dakwaan rasuah pemimpin UMNO
BACA: UMNO runtuh, Pas perlu ke depan perjuang agenda Melayu Islam - Takiyuddin
Abdul Rahim merupakan veteran UMNO dan juga bekas Ketua Menteri Melaka yang keenam selain pernah memegang Naib Presiden UMNO di peringkat akar umbi politik.
Beliau pernah menjadi pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Yayasan Penggerak Wawasan (YPW) dan Gagasan Ekonomi Penggerak Melayu (GAPEM).
Dalam pada itu Abdul Rahim ketika dihubungi untuk mengesahkan isu berkenaan memberitahu, kemasukan ahli-ahli baru ke dalam Bersatu termasuk dari UMNO boleh dianggap satu penghijrahan politik seperti hijrahnya Rasulullah dari Mekah ke Madinah.
"Ia satu jihad Islamik dan fardu kifayah demi menyelamat dan mempertahan kuasa politik Melayu di negara ini selagi ada bulan dan bintang," ujarnya.
Pada Sabtu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, penyertaan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), terutamanya UMNO, ke dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH) akan memberikan kemudahan kepada kerajaan untuk menggubal dasar.
Jelasnya, penyertaan beramai-ramai wakil rakyat pembangkang itu akan memberikan PH kekuatan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
#Barisan Nasional #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #PAS #PKR #PPBM #UMNO
;