Rafizi hanya akan jawab soalan politik di luar waktu pejabat
Madiha Abdullah
Disember 11, 2022 14:12 MYT
Disember 11, 2022 14:12 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata beliau akan hanya bercakap tentang hal politik atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden PKR selepas waktu pejabat.
Dalam satu hantaran di media sosial, Rafizi berkata hal ini perlu kerana sebagai menteri Kabinet, beliau dibayar untuk menangani isu dan masalah yang dihadapi rakyat.
"Keutamaan sekarang adalah melaraskan dasar-dasar dan pelaksanaan projek supaya memberi impak paling besar kepada rakyat dalam persediaan kita menghadapi cabaran ekonomi 2023 yang dijangka lebih menguji kekuatan dan daya tahan ekonomi negara.
"Di luar waktu kerja, saya akan berdepan dengan PN dan Pas. Saya akan menjawab isu-isu yang mereka mainkan dan juga akan selaraskan supaya aktivis dan pimpinan Kerajaan Perpaduan turut sama memantau prestasi mereka sebagai pembangkang.
"Mereka ingat jadi pembangkang ini hanya menimbulkan sentimen kebencian. Mereka lupa bahawa menjadi pembangkang juga perlukan pengetahuan mengenai dasar, memantau pelaksanaan, membawa suara rakyat dengan masalah seharian mereka," katanya menerusi kenyataan di media sosial hari ini.
Tambah Rafizi, bermula minggu depan beliau akan mula menggariskan perancangan, usaha dan persediaan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
"Kita akan berkempen seperti sebelum membentuk kerajaan atas platform PKR dan @ayuhMYmovement tanpa penglibatan satu sen duit dan masa kerajaan.
"Jadi kepada kawan-kawan yang risau di luar, Insya-Allah kami ada perancangan yang disusun untuk berdepan dengan lawan politik.
"Masa yang dibayar gaji oleh rakyat adalah tanggungjawab negara dan tidak boleh digunakan untuk kerja-kerja politik.
"Masa kami sendiri (seperti waktu malam, hujung minggu dan lain-lain) adalah masa untuk berkempen supaya tidak ada campur aduk di antara tanggungjawab sebagai menteri dan tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden parti," katanya lagi.