Rafizi guna strategi melagakan Muhyiddin-Najib - Mohd Sharkar
Astro Awani
Mac 30, 2022 17:29 MYT
Mac 30, 2022 17:29 MYT
KUANTAN: Bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dilihat cuba melaga-lagakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan bekas Perdana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pandangan Rafizi yang membandingkan Muhyiddin lebih popular daripada Najib adalah sebahagian daripada strateginya untuk melaga-lagakan kedua-dua pemimpin parti berkenaan.
"Rafizi ni dia batu api, pertama sekali dia nak supaya Najib dengan Muhyiddin ni bergaduh, Itu strategi dia.
"Komen daripada orang politik ni macam-macam sebabnya. Ada sebabnya memang ikhlas, ada sebabnya dia nak cuba nak mengapi-apikan, atau nak melaga-lagakan. Itu hak dia lah, dia nak komen apa. Tapi sebenarnya dia cuma nak pergeseran itu bertambah lagi hebat... lagi meriah," kata Mohd Sharkar.
Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai kenyataan yang dibuat Naib Presiden PKR itu ketika melancarkan kempen 'Ayuh Malaysia' di ibu negara, 27 Mac lalu.
Rafizi dilaporkan berkata, populariti Najib banyak dipengaruhi kempen 'Bossku' dan penguasaannya di media sosial meluas, namun beliau masih gagal mengatasi populariti Muhyiddin.
Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan kejayaan yang diperoleh BN dalam dua PRN adalah hasil kerjasama semua pihak.
"Ini adalah kejayaan bersama sepertimana saya katakan tadi. Untuk kita memenangi sesuatu peperangan, kita analogikan peperangan dia tidak mungkin sebagai one-man show, cuma dia mungkin pemberat itu lebih sikitlah. Datuk Seri Najib sebagai contohnya (dan beberapa ahli politik berbeza), mereka mainkan peranan masing-masing dan saya sudah sebut tadi ia adalah kerja satu pasukan," ulasnya.
Wan Rosdy berkata demikian satu dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Keluargaku Ahli UMNO di Kuantan pada Rabu.
UMNO Pahang hari ini melancarkan kempen 'Keluargaku Ahli UMNO' bertujuan menambah ahli dalam kalangan ahli keluarga setiap ahli UMNO di negeri Pahang.