Rafizi dinasihat tidak terlalu obsesi kejar jawatan
Sinar Harian
Julai 6, 2022 11:40 MYT
Julai 6, 2022 11:40 MYT
SHAH ALAM: Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman 'menasihatkan' calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli agar tidak terlalu obsesi dalam mengejar jawatan hingga mempertikaikan keperluan audit forensik terhadap pemilihan parti.
Syed Badli Shah menegaskan, jika bekas Naib Presiden PKR itu terbukti dipilih oleh akar umbi, biarlah kemenangan itu diperoleh secara telus dan adil.
Katanya, tindakan Rafizi mempertikaikan audit forensik menunjukkan sikap angkuh dan sombong beliau.
"Kenapa sekarang Rafizi membangkitkan seolah-olah audit forensik yang sedang dijalankan ini sebagai usaha menghalang beliau dari menjawat jawatan Timbalan Presiden.
"Apakah beliau sebenarnya khuatir yang kemenangan beliau akan terjejas jika kepincangan kepada proses pemilihan ini dapat dibuktikan?" Soalnya dalam kenyataan, pada Rabu.
Pada Selasa, Rafizi dilaporkan berkata, tuntutan mengadakan audit digital bagi keputusan pemilihan PKR hanyalah permainan segelintir ahli parti itu yang kalah dalam pemilihan berkenaan.
Syed Badli Shah mendakwa, dalam kenyataan itu juga, Rafizi turut memperlekehkan kewibawaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tuduhan kononnya terdapat segelintir mereka yang berada dekat dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu sedang berusaha menghalang keputusan itu dari diumumkan.
Menurutnya, dakwaan Rafizi itu dilihat bercanggah kerana pada 15 Mei lalu Rafizi sendiri mengeluarkan satu kenyataan mengakui terdapat masalah teknikal terhadap proses pemilihan parti yang sedang berlangsung.
"Secara tak langsung beliau memberi gambaran bahawa proses pemilihan parti perlu diperkemaskan supaya dilihat lebih telus dan adil.
"Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dalam satu kenyataan turut mengesahkan terdapat cubaan menggodam keputusan parti," katanya.
Justeru, Syed Badli Shah memberitahu, tiada keperluan untuk PKR dilihat terlalu tergesa-gesa mengumumkan kemenangan Rafizi sedangkan terdapat lebih 1,800 bantahan dari akar umbi yang mempertikaikan ketelusan pemilihan parti.
"Rafizi seharusnya meraikan proses audit forensik terhadap keputusan pemilihan, bukannya menuding jari ke arah pihak lain seolah-olah terdapat usaha untuk menyekat kemenangan beliau.
"Bagi menghadapi pilihan raya yang akan menjelang pada bila-bila masa, barisan kepimpinan parti perlulah dibentuk seberapa segera dengan meletakkan mereka yang benar-benar layak dipilih bukannya mereka yang dipilih kerana manipulasi dan penipuan," katanya.
Syed Badli Shah juga menggesa audit forensik diadakan secara menyeluruh terhadap keputusan pemilihan termasuk undi dalam talian.
Katanya, keputusan berkenaan mesti dibentangkan secara telus demi menjamin kewibawaan parti dalam mempersiap-siagakan jentera demi menghadapi pilihan raya. - Sinar Harian