Rafizi akan jumpa Anwar, mulakan persediaan PRU15 sebagai Timbalan Presiden PKR
Bernama
Mei 30, 2022 06:15 MYT
Mei 30, 2022 06:15 MYT
KUALA LUMPUR: Setelah mendapat mandat daripada ahli akar umbi sebagai Timbalan Presiden PKR dalam Pemilihan PKR 2022, Rafizi Ramli akan mengatur perjumpaan dengan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan segera untuk memulakan urusan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Rafizi berkata PKR akan kembali kuat apabila keseluruhan anggota dari akar umbi ke presiden bergerak dengan satu strategi dan masing-masing melaksanakan tugasan dengan berkesan.
Ketua Cabang PKR Pandan itu juga mengucapkan terima kasih dan meluahkan rasa terhutang budi kepada semua ahli parti kerana memilih beliau bagi jawatan nombor dua parti berusia 23 tahun itu.
"Dalam sejarah pemilihan PKR sejak penubuhannya, tidak pernah calon seorang Timbalan Presiden mendapat mandat yang sebegini besar , selain dari undi popular hampir 60 peratus, lebih 80 peratus dari semua cabang di seluruh negara telah meletakkan amanah sebagai Timbalan Presiden kepada saya.
Saya tahu ia bukanlah sebab anggota akar umbi PKR lebih sukakan saya berbanding Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Saya tahu saya hanya seorang anggota biasa yang tidak berjawatan dan saya banyak kelemahan sendiri," katanya menerusi hantaran di Facebooknya, pada Isnin.
Rafizi yang sebelum ini merupakan Naib Presiden yang dilantik berkata anggota akar umbi parti itu memberikan mandat besar kepada seorang anggota biasa yang tidak berjawatan kerana mereka mahu PKR kembali kepada landasan reformasi yang membentuk parti.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh ahli PKR yang telah mempamerkan kematangan melalui pemilihan parti itu dan juga menyeru supaya keseluruhan pimpinan parti di semua peringkat menerima dengan berlapang dada isyarat akar umbi yang telah dizahirkan di peti undi.
Rafizi menutup ucapan yang panjang lebar di laman Facebooknya itu dengan mengucapkan terima kasih kepada keseluruhan pasukan kempen beliau di semua peringkat yang terdiri dari anggota akar umbi yang tidak berjawatan.
Sementara itu di SEREMBAN, Datuk Seri Aminuddin Harun yang merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan sesi 2018/2021 menyifatkan kepimpinan baharu yang menang dalam pemilihan PKR 2022 akan dapat memperkukuhkan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Beliau berkata barisan kepimpinan PKR kali ini juga dapat menyusun semula parti dengan lebih baik terutamanya dalam menghadapi PRU15.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada ahli PKR yang mengundi, tidak kira siapa yang mereka mengundi... mereka telah menjalankan tanggungjawab penting dan kita lihat ada perkembangan baik apabila jumlah pengundi itu bertambah, ini bermakna ahli mengambil maklum (penting) tentang pemilihan parti ini.
Adat bertanding ada kalah dan menang, saya ucapkan terima kasih kepada pengundi yang memberi sokongan kepada saya untuk jawatan Naib Presiden PKR," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Petronas yang turut dihadiri Pengurus Besar Petronas Selatan Sazli Zakaria pada Isnin.
Dalam pada itu Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan turut mengucapkan tahniah kepada Rafizi yang memperoleh undi tertinggi bagi jawatan Timbalan Presiden PKR kali ini.
Menurut keputusan tidak rasmi yang dikemas kini melalui laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022 hari ini, Rafizi mendahului Saifuddin bagi jawatan Timbalan Presiden dengan memperoleh sebanyak 68,451 undi berbanding Saifuddin dengan 48,223 undi.
Bagaimanapun pengumuman rasmi calon yang menang jawatan pada Pemilihan PKR 2022 akan dibuat semasa Kongres Parti Keadilan Rakyat yang berlangsung dari 25 hingga 26 Jun ini.
-- BERNAMA