Rafidah mampu beri lonjakan kepada kepimpinan Wanita Bersatu - Penganalisis
Astro Awani
November 10, 2018 11:25 MYT
November 10, 2018 11:25 MYT
Penyertaan Tan Sri Rafidah Aziz ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membawa banyak kelebihan khususnya pada kepimpinan Srikandi parti itu.
Menurut penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali, sebagai tokoh yang mempunyai rekod kepimpinan yang baik selama lebih empat dekad dalam UMNO, kehadiran Rafidah mampu menyuntik dinamik baharu dalam Bersatu.
“Pada hari ini, kita melihat kepimpinan Wanita dalam Bersatu kurang menonjol. Saya fikir dengan kemasukan Tan Sri Rafidah ini akan memberi satu lonjakan kepada parti,” kata Dr Mazlan yang ditemu bual dalam program Komen Pagi pada Sabtu.
Rafidah yang cukup berpengalaman pernah menyandang jawatan Ketua Wanita UMNO dari tahun 1999 hingga 2009 sebelum jawatan itu kemudiannya dipegang oleh Tan Sri Shahrizat Jalil.
“Sejak sebelum Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14), Rafidah sentiasa mempunyai idea yang agak konsisten tentang pembentukan Bersatu dan kritikan-kritikan beliau terhadap UMNO adalah kritikan yang mempunyai asas dan objektif”.
Dr Mazlan juga optimis yang kemasukan Rafidah dalam Bersatu akan mewujudkan kepimpinan yang baik untuk parti itu.
“Kadang-kadang, walaupun kepimpinan ini lama, tetapi jika daya kepimpinan itu relevan dengan keperluan semasa ianya mampu diterima dengan baik”.
“Tun Dr Mahathir contohnya pada usia 93 tahun mampu meyakinkan rakyat untuk menumbangkan Barisan Nasional.”
Selain itu, kata Dr Mazlan, paduan antara yang lama dan baharu itu sangat signifikan kerana orang muda memerlukan bimbingan daripada generasi yang lama.
Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat mengalu-alukan hasrat Rafidah untuk menyertai Bersatu dan menegaskan tiada jawatan akan diberikan sekiranya beliau bersama parti itu.