Rafidah jangan menyorok lepas buat dakwaan palsu terhadap Mindef - Shaiful
Astro Awani
April 11, 2018 20:20 MYT
April 11, 2018 20:20 MYT
Bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz diminta tidak terus menyorok selepas membuat dakwaan palsu berhubung projek melibatkan Kementerian Pertahanan (Mindef).
Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menegaskan, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga disaran bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan menilai sendiri sentimen rakyat terhadap dakwaannya.
Jelas beliau, desakan Rafidah supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri yang tampil menjawab isu berkait Kementerian Pertahanan itu merupakan satu gesaan dan paksaan yang keterlaluan.
"Soalan dan konon-kononnya pendedahan Rafidah sudah dijawab dengan kemas dan tuntas oleh Menteri dan Kementerian Pertahanan. Tuduhan Rafidah tidak berasas langsung malah layak dianggap sebagai penipuan fakta yang sangat ketara.
"Rafidah pada hakikatnya tersepit dan terhimpit dengan penipuan fakta yang diciptakan sendiri. Tidak ada asas yang mewajarkan isu ini diteruskan.
"Kementerian Pertahanan adalah sebuah kementerian yang strategik dan penting kepada negara. Serangan dan penipuan bersiri yang dibuat Rafidah terhadap kementerian ini tidak boleh dimaafkan. Imej dan kewibawaan pimpinan Kementerian tidak wajar diseret ke dalam kancah politik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Rafidah menerusi 'Surat Terbuka Untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak' yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, menyatakan perdana menteri selaku menteri pertahanan pada 2008 telah mengesyorkan penswastaan lebih 40,000 hektar tanah ATM kepada sebuah syarikat milik tiga individu dan telahpun diluluskan serta dilaksanakan.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan pada Selasa, Kementerian Pertahanan menafikan dakwaan Rafidah bahawa terdapat sebuah syarikat yang terdiri daripada tiga individu mengawal pelaksanaan projek oleh kementerian itu mengikut kaedah 'land swapping'.
Dalam pada itu tegas Shaiful, ruang kini terbuka luas untuk Rafidah seandainya masih mahu terjun semula ke dunia politik dan membuktikan dakwaannya.
"Jika masih ada nafsu dalam politik, ruang sudah terbuka luas. Jangan sekadar menjadi tukang sorak yang menipu fakta untuk menunjukkan imej bersih di media sosial.
"Kita melihat Rafidah hanyalah 'tukang pukul' yang dijanjikan ganjaran-ganjaran tertentu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Sekiranya Rafidah ikhlas, kenapa tidak dedahkan sebelum ini, kenapa perlu tunggu menjelang pilihan raya untuk mengelirukan rakyat?," soalnya.
Shaiful turut menyarankan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan kementeriannya tidak lagi melayan kerenah 'desperado' Rafidah.
"Apa yang paling penting adalah peranan yang sedia ada diteruskan bagi membela warga perajurit. Blueprint perumahan dan beberapa program kebajikan warga perajurit adalah azimat terbaik menjawab segala tohmahan dan fitnah pihak-pihak tertentu," ujarnya.