Radzi tepis desas-desus jadi calon Parlimen Putrajaya
Bernama
Ogos 22, 2022 17:16 MYT
Ogos 22, 2022 17:16 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin hari ini menepis desas-desus akan bertanding di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) susulan kekerapan menghadiri pelbagai program di pusat pentadbiran kerajaan itu sejak akhir-akhir ini.
Radzi yang pernah bertanding pada PRU14 di Parlimen Ketereh, Kelantan pada 2018 itu berkata, kehadirannya pada setiap program adalah bagi memenuhi jemputan kerana ia adalah anjuran Kementerian Pendidikan (KPM).
Beliau yang juga Naib Presiden Bersatu itu berkata, Putrajaya dipilih sebagai lokasi bagi setiap program bagi memudahkan pergerakan logistik dari KPM dan menjimatkan masa.
"Ia (program KPM) diadakan di Putrajaya sebab banyak sangat program dan kita perlu cari lokasi dekat (KPM), mudahkan pergerakan. Itu penting.
"Dalam bulan ini (Ogos) hingga September, hampir hari-hari akan ada program atau pelancaran perkara baharu bagi mengisi slot 'Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan'," katanya pada sidang media selepas melancarkan platform pembelajaran digital KPM Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMA): Agenda Digital Kita di sini hari ini.
Sepanjang minggu lepas, Radzi telah menghadiri beberapa majlis di Putrajaya antaranya Kejohanan Bola Tampar Amatur di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 16 (1) pada 7 Ogos, Showcase Transformasi Pendidikan di Pusat Beli Belah Alamanda (13 Ogos), program Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat di SMK Putrajaya 14 (1) (18 Ogos), Majlis Transformasi Pendidikan Pemerkasaan Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT) di SMK Presint 18 (1) (20 Ogos) dan hari ini pelancaran DELIMA KPM di SMK Putrajaya Presint 8 (1).
Timbul desas-desus Radzi sedang 'mengintai' kerusi Parlimen Putrajaya pada PRU15 selepas tewas pada PRU14 di tangan penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Parlimen Putrajaya disandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memegang kerusi itu selama empat penggal. - BERNAMA