Radzi nafi mesyuarat PIBG mewah di Tanah Merah dibiayai KPM

Firdaus Azil
Julai 6, 2022 16:36 MYT
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Mohd Radzi Md Jidin hari ini menafikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sebuah sekolah di Tanah Merah pada 2 Julai lepas, telah dibiayai kementeriannya. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Menteri Kanan Pendidikan Datuk Mohd Radzi Md Jidin hari ini menafikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sebuah sekolah di Tanah Merah pada 2 Julai lepas, telah dibiayai kementeriannya.
Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, beliau berkata, majlis tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Radzi berkata demikian sebagai respons kepada dakwaan kononnya majlis yang turut menyediakan cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa sebuah kereta, adalah sebahagian kempen Perikatan Nasional (PN) untuk pilihan raya umum akan datang.
“Untuk makluman semua, semakan kementerian mendapati tiada sesen pun peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia sama ada di peringkat JPN, PPD atau sekolah digunakan untuk membiayai Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG Secara Berkelompok Sekolah-sekolah di Tanah Merah.
“Sebaliknya, sumbangan dan perbelanjaan bagi program ini dibiayai oleh Ahli Parlimen Tanah Merah,” tegasnya lagi.
Dalam catatan di Facebooknya, Radzi turut melampirkan paparan kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Isham Jalil, yang cuba mengaitkan majlis tersebut sebagai kempen politik.
“Nampaknya sekolah-sekolah kebangsaan Malaysia sudah kaya-raya. Setiap kali diadakan mesyuarat PIBG, sekolah akan hidangkan 100 ekor kambing golek serta membuat cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah Perodua Axia. Lima buah motorsikal, 10 ekor lembu, 10 TV, 20 telefon bimbit dan 200 hamper.
“Jangan hanya dibuat di Tanah Merah. Buatlah juga di semua sekolah kebangsaan dalam negara. Ini baru adil. Betul tak, Dr Radzi Jidin?” tulis Najib dalam Facebooknya.
Turut membangkitkan persoalan yang sama ialah Isham Jalil, yang mempersoalkan tindakan mengadakan majlis mesyuarat PIBG serentak dengan pelancaran PN Kelantan.
“Saya ingin tanya Menteri Pendidikan, adakah surat yang tular untuk jemput mesyuarat PIBG di sebuah sekolah di Kelantan menawarkan hadiah kereta, motosikal, TV, lembu, dan hidangan 100 ekor kambing golek itu betul?
“Dan majlis ini diadakan bersamaan dengan pelancaran kempen politik PN?? Adakah kamu guna duit dan kemudahan kerajaan juga untuk majlis politik parti kamu tersebut?” tulis Isham dalam Facebooknya.
Susulan kenyataan terbaharu Radzi, Najib sekali lagi memuat naik persoalan di Facebooknya, tentang tindakan Ikmal Hisham.
“Maksudnya PPBM/PN serta timbalan menteri kamu yang sponsor dan salah gunakan nama sekolah kebangsaan untuk menipu ibu bapa hadir ke mesyuarat PIBG/pelancaran PN Kelantan dengan hidingan 100 kambing golek, hadiah sebuah Perodua, 5 buah motorsikal, 10 TV, 20 telefon bimbit dan 200 hamper? Betul ke tidak?” soalnya lagi.
#Radzi Jidin #Najib Razak #mesyuarat PIBG #Perikatan Nasional #PRU15
;