Putra tidak bertanding PRN Sabah
Bernama
Ogos 9, 2020 14:13 MYT
Ogos 9, 2020 14:13 MYT
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Sabah tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah nanti, kata Pengerusi dan Ketua Penyelaras Putra negeri Jeffrus Maimin Rijan.
Menurutnya walaupun ada pemimpin bahagian yang sedia bertanding, namun mesyuarat perhubungan parti berkenaan yang diadakan semalam di Kota Kinabalu dengan dihadiri oleh 18 ketua bahagian, telah memutuskan perkara itu demi strategi masa depan Putra Sabah.
"Bertanding adalah untuk menang dan bukan untuk kalah. Untuk menang mesti cukup syarat-syaratnya. Bertanding sekadar menguji pengaruh bukanlah langkah yang bijak.
"Ia memberi impak yang tidak baik dari segi persepsi rakyat, manakala kekalahan adalah kerana persediaan yang belum mantap untuk sebuah parti yang baharu lahir," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya Putra Sabah turut mengambil ketetapan untuk bersikap berkecuali serta tidak akan menyokong parti politik yang bertanding, selain pimpinan Putra juga tidak dibenarkan menggunakan nama dan jawatan dalam parti itu untuk membantu kempen mana-mana calon pada PRN itu nanti.
Beliau berkata Putra Sabah seiring dengan Putra Pusat iaitu untuk memberi tumpuan kepada pengukuhan penubuhan struktur organisasi Putra peringkat bahagian, cawangan dan sayap bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
-- BERNAMA
#bahagian
#berkecuali
#bertanding
#Jeffrus Maimin Rijan
#kalah
#masa depan
#menang
#mesyuarat perhubungan
#pemimpin
#pilihan raya
#pilihan raya negeri
#PRN
#PUTRA
#Sabah
#strategi