Putra perhalusi gabungan Amanah Merdeka Rakyat

Muhafandi Muhamad
Mei 1, 2022 08:10 MYT
Ibrahim berkata, Putra ingin medapatkan maklumat lanjut berhubung gabungan itu. - Foto fail
TUMPAT: Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) akan memperhalusi matlamat, naratif dan juga ahli Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan sebelum memberikan persetujuan menyertai gabungan yang baharu dibentuk dan dikepalai oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, bagaimanapun berkata, Putra menolak gabungan itu sekiranya ia turut disertai oleh parti DAP.
Bagi Ibrahim, DAP tiada tempat di hati rakyat Kelantan.
"Bukan soal jemputan rasmi atau tak rasmi, tidak menjadi soal, yang kita nak tengok apabila dijemput kita nak perhalusi apa yang saya sebut tadi nak teliti, parti mana terlibat, apa piagam, naratif kepimpinannya, konsepnya.
"Putra tidak mahu rumah siap, pahat berbunyi, esok nanti bergaduh. Sebab saya nak ingatkan kalau kita tubuh pakatan seumpama ini kita menang, esok dia keluar runtuhlah kerajaan.
"Sebab itu kerjasama perlu diikat dengan mutlak," katanya.
Tambah Ibrahim lagi, jika matlamat penubuhan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan semata-mata untuk menjatuhkan Pas Kelantan tanpa pengisian, ianya tidak mencapai matlamat sebenar penubuhan sesebuah gabungan.
Katanya ada pihak yang mempelawa Putra menyertai gabungan berkenaan selain parti Pejuang, PKR, DAP dan juga Amanah yang menggontai gabungan itu.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, Putra ingin medapatkan maklumat lanjut berhubung gabungan itu, membabitkan parti yang terlibat, barisan kepimpinan, hala tuju, piagam gabungan dan sebagainya.
Ibrahim berkata, beliau secara peribadi tidak mengetahui sebab tindakan yang dibuat oleh Tengku Razaleigh, namun beliau kagum langkah berkenaan.
Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan dilihat sebagai kerjasama politik yang memerlukan satu ikatan kukuh untuk mencapai matlamat mereka.
Sebelum ini Tengku Razaleigh menubuh dan mengepalai gabungan rentas parti itu dengan tujuan menumbangkan kerajaan pimpinan Pas Kelantan pada Pilihan Raya Umum akan datang.
#PUTRA #Ibrahim Ali #Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan #Tengku Razaleigh Hamzah
;